KBS tunggu pandangan Selangor sebelum putuskan nasib SUKMA 2026

KBS tunggu pandangan Selangor sebelum putuskan nasib SUKMA 2026

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari akan memulakan proses mendapatkan pandangan rasmi Kerajaan Negeri Selangor susulan cadangan penangguhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Beliau berkata, langkah itu penting sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung status temasya dwitahunan berkenaan.

“Saya akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah berhubung perkara ini.

“Selepas mendapat maklum balas tersebut, saya akan memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026.

“Ianya akan dianggotai oleh semua negeri, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia bagi membincangkan perkara ini secara terperinci dan menyeluruh,” katanya.

Menurut Taufiq, pendekatan itu bagi memastikan keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pembangunan atlet dan perancangan sukan negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Kementerian Belia dan Suka menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan penangguhan temasya tersebut.

“Saya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 hari ini, berkenaan penangguhan penganjuran SUKMA Selangor 2026.

“Ini merupakan amanat Tuanku atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu hari ini, Sultan Sharafuddin berpandangan penganjuran SUKMA 2026 wajar ditangguhkan sehingga konflik di Asia Barat selesai serta Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kos penganjuran yang tinggi selain keadaan ekonomi semasa yang memerlukan pertimbangan lebih teliti.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini dengan mempertandingkan 474 acara melibatkan 37 jenis sukan. – UTUSAN

Scroll to Top