Lebih 500 penyokong Stuttgart ditahan selepas pergaduhan besar

Lebih 500 penyokong Stuttgart ditahan selepas pergaduhan besar
Lebih 500 penyokong Stuttgart ditahan selepas pergaduhan besar

Pegawai polis mengambil tindakan terhadap penyokong bertopeng yang bertindak ganas menjelang perlawanan bola sepak Bundesliga Jerman antara Bayern Munich dan VfB Stuttgart di Allianz Arena. Foto dpa

LEBIH 500 penyokong VfB Stuttgart ditahan selepas tercetus pergaduhan besar dengan penyokong Bayern Munich di luar Allianz Arena di Munich sebelum pasukan tuan rumah merangkul kejuaraan Bundesliga lelaki, kata jurucakap polis Christian Drexler pada Isnin.

Kira-kira 1,000 penyokong terbabit dalam pertempuran pada Ahad, menurut polis, yang menyifatkan “kejadian itu kelihatan seperti dirancang. Ia tidak nampak berlaku secara spontan.”

Drexler berkata, kira-kira 500 penyokong Stuttgart sedang dalam perjalanan dari stesen bawah tanah ke stadium apabila mereka tiba-tiba berlari ke arah yang tidak dijangka.

Kumpulan itu, termasuk beberapa individu bertopeng, kemudian bertembung dengan jumlah penyokong Bayern yang hampir sama di sebuah kawasan tempat letak kereta.

Polis berjaya memisahkan kedua-dua kumpulan dengan segera dan mengepung penyokong Stuttgart.

Kira-kira 350 daripada mereka dibawa ke ibu pejabat polis di pusat bandar, manakala selebihnya ditahan di lokasi kejadian. Menjelang malam, kesemua mereka dibebaskan.

Mereka kini disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk mengganggu ketenteraman awam dan melawan penahanan.

“Golongan pembuat kekacauan seperti ini tidak mempunyai tempat di Munich,” kata Drexler.

Hanya penyokong Stuttgart yang ditahan kerana kekurangan anggota polis di lokasi untuk menahan kedua-dua kumpulan.

Lebih 300 anggota polis bertugas di Allianz Arena sepanjang perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Bayern meraih gelaran kejuaraan Jerman ke-35 dan ke-34 dalam era Bundesliga. – Bernama-dpa

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top