Gimnastik artistik masih berpotensi besar sumbang pingat buat negara

Gimnastik artistik masih berpotensi besar sumbang pingat buat negara

KANGAR: Gimnastik artistik masih berpotensi besar menyumbang pingat buat kem negara khususnya pada temasya Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Kau Git Kaur, 59, berkata, selepas persaraan bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, kem gimnastik artistik negara masih mempunyai ramai atlet yang sangat berpotensi untuk menyumbangkan pingat dalam acara berkenaan.

Katanya, terdapat beberapa atlet negara dilihat sememangnya mempunyai peluang cerah dalam sukan itu mengikut tahap kesukaran rutin mereka.

“Malaysia ada banyak atlet yang berpotensi besar antaranya seperti Muhammad Shahrul Aimy Mohd Kamarul yang mampu meraih gangsa semasa Asian Games.

“Selain itu, kita juga ada bakat muda yang menyerlah seperti Ng Chun Cheng dan beberapa lagi di mana mereka ini sangat berpotensi untuk menyumbang pingat buat negara pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Dewan Gimnastik Artistik Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, di sini, semalam.

Sebagai rekod, Git Kaur juga merupakan bekas atlet gimnastik yang pernah menyumbang pingat emas pertama buat Malaysia bagi acara artistik lelaki pada Sukan SEA 1991 di Manila.

Menurut Git Kaur, pihaknya turut meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 12 pingat emas diraih negara pada temasya Sukan SEA Malaysia 2027 depan.

“Saya meletakkan sasaran 12 emas bagi melengkapkan 100 pingat emas gimnastik negara sepanjang penyertaan dalam temasya itu.

“Buat masa ini, MGF sudah meraih sebanyak 88 pingat emas, jadi saya sebagai presiden baharu juga dalam misi untuk memburu lagi 12 pingat emas untuk mencipta sejarah baharu ini,” katanya.

Git Kaur yang juga merupakan Presiden Gimnastik Artistik Perlis berkata, negeri ini juga berpotensi melahirkan jaguh dalam sukan itu namun pencarian bakat baharu berlangsung sedikit mencabar disebabkan oleh jumlah populasi penduduk di sini tidak begitu ramai seperti negeri-negeri lain.

Beliau berkata, namun begitu, komitmen ditunjukkan Ketua Jurulatih Gimnastik Artistik Negeri Perlis, Mohd Faiz Mohd Ameer dilihat dapat membantu dalam membawa pasukan negeri ini untuk terus cemerlang dalam sukan tersebut.

“Walaupun Faiz ini adalah junior saya, namun saya lihat dia seorang jurulatih yang faham tentang sukan ini dan sangat mempunyai pengalaman luas,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top