DNeX perluas peranan global dalam inisiatif Makkah Route 2026

DNeX perluas peranan global dalam inisiatif Makkah Route 2026

DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa apabila memperoleh kontrak bagi meneruskan sokongan terhadap inisiatif Makkah Route Arab Saudi untuk musim haji 1447H/2026.

Syarikat itu, melalui anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd akan menyediakan kemudahan tapak, logistik serta infrastruktur telekomunikasi di tujuh lapangan terbang antarabangsa merangkumi Malaysia, Indonesia dan Turkiye.

Perkembangan itu menyaksikan peningkatan berbanding tahun lalu dengan penambahan satu lokasi baharu di Indonesia, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan teknikal, kebolehpercayaan pelaksanaan serta rekod prestasi DNeX.

DNeX telah terlibat dalam program Makkah Route sejak 2019 yang diterajui Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi di bawah Program Pengalaman Jemaah. Inisiatif itu membolehkan jemaah haji melengkapkan proses prapelepasan imigresen di negara asal, sekali gus mempercepatkan ketibaan dan meningkatkan pengalaman keseluruhan di Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, pelantikan semula dan peluasan peranan itu mencerminkan hubungan jangka panjang yang kukuh serta potensi hasil berulang.

“Pelantikan berterusan di pelbagai lokasi antarabangsa, termasuk penambahan tapak baharu tahun ini, membuktikan kepercayaan terhadap keupayaan DNeX dalam menyediakan infrastruktur kritikal berskala besar,” katanya.

Bagi musim haji 2026, skop DNeX merangkumi pintu masuk utama penerbangan termasuk Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Juanda, Adi Soemarmo dan Sultan Hasanuddin di Indonesia; serta Lapangan Terbang Istanbul dan Lapangan Terbang Ankara Esenboğa di Turkiye.

DNeX turut meneruskan kerjasama rapat dengan Elm Company, syarikat milik kerajaan Arab Saudi di bawah Public Investment Fund dan penyedia utama penyelesaian digital yang menyokong transformasi digital negara itu.

Selain program Makkah Route, DNeX sedang meneroka peluang komersial lebih luas bersama Elm Company dalam sektor pengangkutan dan keselamatan, dengan matlamat memperluas kepakaran teknologi kerajaan serta infrastruktur ke pasaran antarabangsa baharu.

Dengan tujuh daripada 16 tapak global berjaya diperoleh tahun ini berbanding enam pada musim haji lalu, DNeX optimis untuk terus berkembang pada masa hadapan selaras strategi memperkukuh asas projek antarabangsa berulang serta meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Scroll to Top