Tidak pernah padam niat terus berlakon

Tidak pernah padam niat terus berlakon

norhayati_nordin@hmetro.com.my

MEMILIH untuk aktif semula dalam bidang lakonan, Baizura Kahar, 44, mengakui keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor seperti minat tidak pernah padam, anak sudah besar dan mahu peroleh pendapatan lebih.

Baizura atau mesra disapa BK berkata, meskipun dia mempunyai pekerjaan tetap sebagai penulis skrip drama di stesen televisyen, tetapi jiwa seninya terhadap lakonan masih belum pudar.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata perempuan dan satu lelaki ini, dia berasa bertuah apabila anak-anaknya menerima baik keputusannya mahu aktif semula sebagai pelakon selepas lebih sedekad mengundur diri.

“Drama pertama saya kembali berlakon semula ialah Keluarga Iskandar 3 pada awal tahun ini untuk watak Dr Sofea. Sejujurnya, saya seronok sepanjang terbabit dalam drama kekeluargaan itu.

“Walaupun sudah lama tidak berlakon kira-kira 18 tahun, tetapi kehadiran semula saya diterima baik oleh pelakon lain. Mereka sentiasa bersikap terbuka membantu saya.

“Justeru, ini adalah masa untuk saya ‘comeback’ berlakon. Apatah lagi, saya melihat kehadiran masih diterima baik. Cuma, sekarang ini sudah tentu teknologi banyak berubah termasuk media sosial memainkan peranan.

“Apa pun, perbezaan itu lebih kepada diri sendiri. Sebab sudah lama sangat saya tidak berlakon. Ketika mula masuk ke set penggambaran drama Keluarga Iskandar 3, saya okay lagi sebab ada ramai pelakon,” katanya.

Terbaharu, Baizura atau nama sebenar Nurbaizura Ahmad Kahar akan muncul dalam telefilem Isteri Ke-2 untuk tayangan Tonton Original Movie yang dibintangi bersama Zahiril Adzim dan Azira Shafinaz.

Melakonkan watak sebagai Maya, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2008 menerusi filem Sepi ini berkata, dia amat berusaha memberikan lakonan terbaik.

“Ketika saya di set penggambaran Isteri Ke-2, baru dapat betul-betul rasakan cabaran dalam lakonan yang sebenar selepas lama menyepi diri. Saya perlu belajar banyak benda untuk memastikan diri dapat ‘perform’.

“Apatah lagi, saya sedar sekarang sudah berlakon semula dan kena serius dalam memahami emosi yang mungkin banyak kita belum guna semasa jadi pelakon dulu dan perlu dikeluarkan balik,” kata pelakon Dunia Baru ini.

Ditanya juga mengenai perihal peribadi, Baizura berkata, dia memilih untuk tidak mahu terlalu banyak berkongsi kerana menghormati perasaan anak-anaknya terutama enggan kesihatan mental terganggu.

“Saya fikir tidak perlu untuk memperincikan kisah peribadi kepada umum. Sebab dari dulu pun, saya tidak pernah terfikir berkongsi mengenai perkahwinan selain karier seni sahaja. Cuma, kini saya nampak peluang kembali jadi pelakon untuk menambah pendapatan.

“Secara tidak langsung saya fikir boleh ‘upgrade’ kehidupan bersama anak-anak. Sebab itu, ia menjadi alasan saya kenapa boleh berlakon semula. Anak-anak pun sudah besar.

“Mereka (anak) boleh terima saya berlakon. Jadi, penerimaan anak-anak itu lebih penting untuk saya. Bila berlakon, nak tengok watak pun saya memang fikir anak-anak dulu. Apa yang mereka akan rasa.

“Setakat ini, watak dalam Keluarga Iskandar 3 okay, karakter saya dalam Isteri Ke-2 pun Alhamdulillah, okay. Jadi, untuk-projek lakonan seterusnya akan dipertimbangkan watak selepas fikir anak-anak,” katanya.

Wanita asal ibu kota ini mengakui sikap anak-anak yang matang dan tidak begitu kisah dengan keputusannya untuk berlakon semula menyebabkan Baizura kembali memasang impian.

“Apabila anak-anak okay dan tidak kisah ketika ditanya oleh kawan-kawan mereka di sekolah mengenai kerjaya saya sebagai pelakon, itu sudah sangat menenangkan hati dan fikiran.

“Ini kerana, saya tahu keadaan mental mereka berada dalam keadaan baik, termasuk saya sendiri tidak terlalu risau memikirkan perlu menjaga penampilan diri dan sebagainya.

“Bahkan, saya juga bersedia untuk berlakon filem sekiranya ada peluang. Sebab, seronok dapat cuba pelbagai watak lain serta ada juga idea baharu dalam penghasilan skrip untuk cerita akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai penulisan skrip, Baizura berkata, ia bermula sejak 2014 kerana minat dan keseronokan dalam menulis.

Katanya, dia juga tiada alasan utama kenapa dulu nekad angkat kaki meninggalkan bidang lakonan.

Memiliki pendidikan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) diikuti Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM), Baizura aktif berlakon dari 2002 sehingga 2011.

Antara drama lakonannya seperti Astana Idaman musim kedua, Dunia Baru, Manjalara, Cinta Medik dan Peliknya Cinta, manakala filem pula ialah Cinta, Dunia Baru The Movie, Susuk dan Sepi.

Sementara skrip drama ditulis Baizura termasuk Aku Di Sisimu, Cinta Koko Coklat, Alamatnya Cinta, Bukan Kahwin Paksa, Memoir Karmila, Isteri Misteri, Hawa, Jangan Ganggu Jodohku, Aku Pilih Bahagia, Andai Tiada Dia dan Kampung People.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top