am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penutupan Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada semua negara ASEAN khususnya dengan krisis ekonomi yang semakin meruncing.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah konflik yang berterusan itu akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara-negara di rantau ini.
“Harga tenaga, baja dan pengangkutan yang meningkat mendadak telah menyebabkan harga makanan melonjak, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran serta memacu inflasi.
“Negara yang mempunyai rizab tenaga rendah adalah yang akan paling terjejas.
“Dengan krisis ekonomi yang semakin membimbangkan, mata pencarian rakyat akan terus terkesan selama berbulan-bulan walaupun Selat Hormuz dibuka semula dalam tempoh terdekat.
“Justeru, rundingan bagi menamatkan konflik Asia Barat (Timur Tengah) perlu disegerakan dan dimuktamadkan dengan jayanya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucaptama sebelum merasmikan Putrajaya Forum yang diadakan sempena pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) 2026, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menyentuh isu mendesak berkaitan alam sekitar dan menggesa tindakan segera diambil.
“Aspek penjagaan alam sekitar bukan sesuata agenda yang boleh ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi lebih baik. Ia adalah sesuatu yang penting atau asas kepada setiap aspek keselamatan pada bumi dan manusia.
“Walau secanggih manapun teknologi ketenteraannya, rantau yang tidak mampu menjamin bekalan makanan dan air sendiri atau melindungi pesisir pantainya daripada ditenggelami air tidak mungkin mampu mencapai nilai keselamatan yang sebenarnya.
“Sehubungan itu, beta menggesa forum ini menjadikan kesihatan di bumi sebagai objektif utama rangka kerja keselamatan komprehensif ASEAN, bukan sekadar sebagai tanda keprihatinan terhadap alam sekitar, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap realiti strategik,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa cabaran keselamatan di rantau ini adalah pelbagai dan kompleks, termasuk pertikaian maritim serta wilayah.
“Setiap cabaran ini boleh ditangani melalui penggunaan teknologi secara berhemah dan saksama. Namun, jika digunakan secara cuai atau untuk kepentingan sempit, teknologi ini boleh memburukkan lagi keadaan.
“Teknologi pasti akan membentuk masa depan kita; persoalannya sama ada kita mampu membentuk teknologi itu untuk menjunjung keamanan, kestabilan dan maruah insan.
“Kita perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi juga dipandu oleh tanggungjawab moral yang tinggi, iaitu generasi yang mempunyai kekuatan jiwa dan kecerdasan minda.
“Ketika ASEAN berada di ambang ini, kita perlu sedar bahawa persaingan memacu inovasi, tetapi kerjasama memberi makna kepadanya. Keselamatan sebenar terletak pada usaha bersama, bukan secara bersendirian,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd



