Melaka: Warga asing dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang tidak dibenar mengadakan sebarang majlis keraian di kawasan terbuka bagi mengelak sebarang pertikaian atau kacau ganggu terhadap penduduk tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, keputusan berkenaan dimuktamadkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama pihak berkuasa serta agensi kerajaan berkaitan.
“Sebelum ini, terdapat etnik Rohingya menganjurkan program komuniti di Kampung Limbongan sehingga mengundang rasa kurang selesa penduduk tempatan kerana muzik yang dipasang terlalu kuat selain turut membawa kumpulan etnik berkenaan dari luar ke kampung berkenaan.
“Sekali lagi, saya menerima surat makluman yang menyatakan terdapat penduduk etnik Rohingya di kampung sama ingin mengadakan majlis perkahwinan dan kelulusan tidak diberikan bagi mengelakkan situasi tidak diingini,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Kampung Kolam di Limbongan di sini, hari ini.
Tinjauan berkenaan turut membabitkan JPKK kawasan berkenaan, polis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, sekiranya warga asing masih ingin menganjurkan program komuniti atau majlis keraian, mereka disaran menyewa premis bersesuaian seperti restoran atau dewan di tempat yang dibenarkan.
Seah berkata, terdapat sekitar 100 hingga 200 orang etnik Rohingya tinggal di kawasan Limbongan sekali gus memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan kerap pihak berkuasa bagi membendung pelbagai masalah khususnya sosial seperti memandu secara berbahaya dan jenayah.
Katanya, undang-undang sedia ada dikuatkuasakan bagi memastikan kumpulan etnik berkenaan tidak melakukan sebarang perkara yang menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Limbongan, Rina Hashim, 50, berkata, pihaknya memohon pihak berkuasa supaya memberi perhatian serius terhadap pelbagai isu membabitkan etnik berkenaan, selain jumlah mereka yang kian bertambah khususnya di Kampung Kolam sehingga membentuk sebuah komuniti.
“Kebanyakan mereka mempunyai kenderaan dan meletakkan kereta sesuka hati selain menunggang motosikal dengan laju di kawasan kampung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



