Seleweng dana zakat RM230 juta, Timbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan

Seleweng dana zakat RM230 juta, Timbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang hari ini.

Sumber berkata, seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 2 petang tadi.

Kata sumber, siasatan awal mendapati semua suspek yang juga dua daripadanya adalah pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.

“Siasatan awal turut mendapati Timbalan Pengerusi NGO terbabit sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan tujuan peribadi.

“Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

“Semua suspek dijangka di bawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk permohonan reman,” katanya.

Sementara itu, BH difahamkan, SPRM menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes; rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top