mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya single lagi. Kalau kata nak jadikan jodoh, itu memang ramai. Saya pergi raya, makcik-pakcik semua mengusik, eh, menantu dah sampai!
“Ada yang terkejut jumpa. Pergi beraya kena usik. Satu kena usik, satu lagi bukan bagi duit raya, tapi kena buat video Jodoh Lebaran bersama-sama,” kata pelakon baharu yang meningkat naik, Imranul Effendy.
Imranul, 27, adalah penari yang ditampilkan Aisha Retno sebagai gandingannya menerusi lagu raya fenomena, Jodoh Lebaran.
“Peluang ini hadir secara tidak disangka. Koreografer Aisha yang menghubungi saya memberikan ciri-ciri yang dikehendaki iaitu tinggi, boleh menari dan boleh berlakon.
“Sebelum saya dipilih, ada beberapa nama lain yang dipertimbangkan. Alhamdulillah… saya dapat dan memang terkejutlah.
“Sebenarnya masa penggambaran untuk video muzik (MV) itu, saya ada kerja, tapi saya sanggup batalkan semua kerja untuk beri fokus kepada peluang ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.
Imranul berkata, cabaran utama terpaksa dilaluinya apabila diminta melakukan tarian berkonsepkan tradisional, berbanding latar belakangnya yang terarah kepada ‘street dance’.
“Apabila dimaklumkan perlu buat tarian tradisional, saya akui agak berat pada awalnya. Namun disebabkan Aisha Retno, saya ambil cabaran itu dan belajar bersungguh-sungguh.
“Siapa yang tak nak bekerja dengan dia kan. Saya hanya belajar dalam masa dua hari sahaja bersama koreografer dan rakan-rakan penari lain walaupun daripada genre yang berbeza.
“Dek kerana lagu ini, variasi peminat saya bertambah. Kalau sebelum ini peminat saya adalah budak-budak, sekarang saya dapat peminat millenial,” katanya.
Pada masa sama, Imranul berkata, dia sebenarnya mengorbankan minat terhadap tarian demi memberi fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan saya sudah aktif menari hampir enam tahun dan pernah meraih pelbagai pencapaian membanggakan.
“Sebelum ini saya sangat aktif, sering menyertai pertandingan dan ‘battle’. Tapi saya rasa sudah tiba masanya untuk fokus sepenuhnya kepada lakonan.
“Jadi saya mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin untuk menerima mana-mana tawaran berlakon. Alhamdulillah… filem pertama saya, Nar’sata: Sekutu Setan akan ditayangkan pada bulan depan,” katanya.
Imranul juga berterus terang belum bersedia sepenuhnya untuk berdepan fenomena populariti luar jangka yang pernah ditempuhi artis-artis lain.
“Namun, saya sudah biasa dengan kecaman sejak awal pembabitan dalam dunia seni. Saya sudah biasa kerana sebelum ini pun pernah berkecimpung dalam dunia pencipta kandungan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




