'Duit ni saya infak balik pada abang…'

'Duit ni saya infak balik pada abang…'

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mekanik yang sebelum ini tular kerana membantu seorang lelaki dikenali sebagai Dicky yang berdepan kesusahan di tepi jalan sekali lagi meraih perhatian apabila kedua-duanya saling menolak wang tunai RM3,000 dipercayai hasil sumbangan orang ramai menerusi ‘gift’ siaran langsung di media sosial.

Menerusi video dimuat naik di Facebook pemilik akaun Minyak Hitam Jalanan, lelaki berkenaan memaklumkan Dicky menerima ‘gift’ dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000 hasil siaran langsung dilakukan sebelum berhasrat menyerahkan separuh daripadanya sebagai infak.

Menurut mekanik itu, wang berjumlah kira-kira RM3,000 berkenaan mahu diberikan kepadanya bagi membantu golongan memerlukan.

“Abang ni sudah bagi kat saya, sebab ada orang rekod abang ni menyatakan abang ini nak bagi duit tu kepada saya, duit gift,” kata mekanik berkenaan.

Dicky kemudian menjelaskan wang berjumlah RM3,000 hasil ‘gift’ diterimanya mahu diserahkan semula kepada mekanik berkenaan sebagai infak.

“Ini wang yang saya dapat dan ingin infak balik,” katanya.

Namun, mekanik itu enggan menerima wang berkenaan sebelum memujuk lelaki terbabit supaya menyimpannya demi kegunaan keluarga.

Dalam rakaman sama, mekanik berkenaan kedengaran berkata wang itu lebih baik digunakan untuk persekolahan anak lelaki terbabit.

Suasana turut bertukar hiba apabila lelaki berkenaan dilihat sebak dan menangis ketika kedua-duanya saling menolak wang terbabit.

Rata-rata netizen yang menonton video berkenaan mengakui tersentuh dengan keikhlasan kedua-duanya serta menyifatkan ia contoh nilai kemanusiaan yang masih subur dalam masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top