London: Virgil van Dijk berkata, Liverpool masih perlu meningkatkan prestasi walaupun mencatat kemenangan 2-1 dalam derbi Merseyside menentang Everton di Hill Dickinson, Ahad lalu.
Kapten Liverpool itu menjaringkan gol lewat untuk meletakkan The Reds dalam kedudukan kukuh bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.
Liverpool masih perlu berdepan dua pasukan dalam kelompok lima teratas dalam usaha memburu tempat ke UCL, selain turut menentang Chelsea yang berada di tempat keenam.
“Kami masih ada lima perlawanan lagi menentang pasukan yang turut bersaing untuk tempat Liga Juara-Juara,” kata Van Dijk.
“Setiap perlawanan adalah besar. Secara keseluruhan, kami sangat kecewa dengan musim yang kami lalui kerana kualiti dimiliki. Ia di bawah standard.
“Tetapi kami perlu terus berjuang, teruskan usaha dan cuba mendapatkan yang terbaik daripada musim yang kurang baik ini. Itulah realitinya, fokus kepada perlawanan seterusnya.
“Everton memberikan kami tiga mata penting dan selepas ini Crystal Palace di laman sendiri, pasukan yang sudah lama kami gagal tewaskan sebelum ini.
“Situasi ini jelas tidak setaraf Liverpool, pada pandangan saya, tetapi itulah realitinya dan penting untuk kami meraih kemenangan. Saya gembira kami berjaya melakukannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




