suliati@hmetro.com.my
Sepang: Seramai 272 jemaah haji kumpulan pertama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) berlepas ke Tanah Suci semalam.
Kumpulan pertama yang disertai empat petugas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2 pagi menaiki pesawat Saudi Airlines menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah.
Kumpulan jemaah itu juga adalah sebahagian daripada kira-kira 500 jemaah yang akan dikendalikan bagi musim haji tahun ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata kumpulan itu adalah adalah sebahagian daripada kira-kira 500 jemaah yang akan dikendalikan bagi musim haji tahun ini.
Menurutnya, tahun ini pihaknya memperkenalkan beberapa pembaharuan, termasuk penganjuran simulasi haji sebanyak dua kali yang dilakukan di pantai timur dan Semenyih, Selangor.
“Melalui simulasi haji itu, pihaknya mahu memastikan jemaah lebih faham mengenai ibadah dan situasi sebenar terutama ketika berada di Arafah, Mina dan Muzdalifah.
“Selain itu, kita juga membuat penyusunan penempatan jemaah haji lebih awal selain mengemaskini nota ibadah untuk kegunaan di Tanah Suci.
“Menerusi pembaharuan ini, kami mahu jemaah bukan sekadar hadir dengan ilmu teori, tetapi benar-benar bersedia dari segi kefahaman dan penghayatan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick, di sini
Ida Riswana berkata antara yang menarik perhatian tahun ini ialah peningkatan jemaah muda, termasuk peserta seawal usia 17 tahun yang berangkat bersama keluarga.
Katanya, pendekatan pakej juga diolah supaya lebih mampu milik tanpa menjejaskan keselesaan jemaah, termasuk penempatan di Aziziyah ketika tempoh puncak sebelum berpindah ke Hotel Safwah.
“Saya harap dengan pembaharuan yang dilakukan termasuk simulasi, jemaah akan lebih menghayati dan tidak terkejut dengan suasana sebenar di sana nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Daud Che Ngah menasihatkan jemaah supaya tidak takut atau terlalu bimbang dengan pergolakan geopolitik di Asia Barat yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan sebahagian bakal jemaah.
Menurutnya, selagi tiada nasihat rasmi daripada kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan keselamatan perjalanan, jemaah perlu kekal yakin untuk meneruskan ibadah.
“Jangan bimbang, jangan takut kerana rasminya sesuatu bahaya atau perkara yang mungkin berlaku dan menghalang kita adalah nasihat daripada kerajaan.
“Kalau kerajaan kata boleh pergi, kita pergi. Jangan terlalu mencari sebab untuk takut kerana kita tidak mempunyai maklumat lengkap.
“Yang penting, pergi dengan ilmu, ikut panduan yang diberikan dan patuh kepada semua peraturan ditetapkan,” katanya.
Berpengalaman selama 50 tahun menjadi petugas haji, Daud turut mengingatkan jemaah supaya tidak mengambil mudah soal hukum-hakam sepanjang ibadah haji dan sentiasa merujuk mutawif atau guru agama bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan ibadah.
“Haji ini mungkin sekali seumur hidup, jadi buat betul-betul. Ikut segala panduan, faham apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, insya-Allah jemaah akan selamat dan memperoleh haji mabrur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



