Kuala Lumpur: Cardiff City FC mengesahkan kenaikan ke Liga Kejuaraan (divisyen dua England) musim depan selepas menewaskan Reading 3-1 dalam aksi Liga Satu (divisyen tiga England), Liga Bolasepak Inggeris (EFL) di Berkshire, Sabtu lalu.
Skuad Bluebirds milik ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu kembali ke divisyen kedua pada percubaan pertama.
Jaringan Rubin Colwill, Omari Kellyman dan Perry Ng memastikan kemenangan Cardiff, manakala keputusan perlawanan lain mengesahkan kenaikan automatik pasukan itu dengan baki tiga perlawanan.
Sejurus tamat perlawanan, skuad berkenaan meraikan kejayaan bersama hampir 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Select Car Leasing.
Vincent menyifatkan kejayaan itu sebagai detik membanggakan sambil memuji usaha pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan serta penyokong sepanjang musim. Ketua jurulatih, Omer Riza dan Rubin Colwill pula menekankan semangat kesatuan dalam pasukan.
Sementara itu, sebuah lagi kelab milik Vincent, K V Kortrijk turut mengesahkan kembali ke Liga Pro Belgium selepas hanya semusim, sekali gus melakar kempen kebangkitan yang luar biasa.
Kejayaan itu meletakkan Kortrijk dalam kelompok kecil kelab yang pernah melakukannya, dengan hanya KV Mechelen mencatat pencapaian sama dalam tempoh 15 tahun lalu.
Rekod cemerlang di laman sendiri dengan 43 mata daripada maksimum 48 menjadi faktor utama, dengan satu-satunya kekalahan dialami ketika menentang juara, SK Beveren.
© New Straits Times Press (M) Bhd




