Isu Perlekeh Kemenangan Anak: Ameng Spring Tampil Bersuara, Dakwa Liza Hanim ‘Tumpang Populariti’

Isu Perlekeh Kemenangan Anak: Ameng Spring Tampil Bersuara, Dakwa Liza Hanim ‘Tumpang Populariti’

Isu melibatkan penyanyi Liza Hanim dan seorang individu yang didakwa ‘senior’ kini semakin hangat apabila penyanyi Ameng Spring tampil memberikan penjelasan.

Sebelum ini, Liza meluahkan rasa kurang selesa apabila mendakwa ada individu memperlekehkan kemenangan anaknya, Marsya Qistina yang menjuarai sebuah program realiti tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Masih Hormat Senior Saya Tu” – Liza Hanim Kesal Kemenangan Anak Jadi Bahan Sindiran

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Liza memberi bayangan mengenai kenyataan seorang ‘senior’ yang didakwa dilakukan ketika sesi siaran langsung, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.

Namun begitu, warganet mula memetik nama Ameng kerana sebelum itu, Ameng mengadakan sesi siaran langsung di TikTok bersama anaknya, Azeva Natassha.

Screenshot

Susulan itu, Ameng yang ditemui di acara Rumah Terbuka Next Level anjuran mStar, Suria dan Kuali malam tadi tampil menjawab perkara tersebut dan mendakwa kenyataannya sebelum ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu termasuk Marsya dan Liza.

“Liza Hanim sebenarnya, dia nak tumpang populariti saya. Itu je. Liza Hanim, saya nak cakap eh kepada anda semua, siapa yang ada nak rakam, rakamlah. Dia sebenarnya nak cari publisiti murahan.

“Dia dah tak ada modal lain dah. Saya bercakap dekat live, saya cakap dekat anak saya, jangan harapkan kemenangan. Kadang-kadang kemenangan tak menjanjikan apa-apa. Yang penting kita jangan anggap benda tu pertandingan. Kalau kalah, kalahlah,” dakwanya.

Dakwa Ameng lagi, nasihat tersebut diberikan kepada Azeva yang menyertai program sama untuk musim kedua dan ia tidak merujuk kepada mana-mana peserta lain.

“Papa (Ameng) kalah berapa kali? Pada setiap pertandingan papa kalah tapi papa tetap popular dan dengan kemenangan, belum tentu boleh jadi popular. Saya cakap benda tu, saya bukan cakap pasal TTMM1 (Talk To My Manager 1), bukan. Saya juga bukan cakap Marsya Qistina, bukan. Saya tak ada cakap apa-apa,” dakwanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan ‘Sejiwa’ Idea A Aida, Azeva Natassha Sebak Kongsi Pentas Dengan Ameng Spring – “Rasa Sayu, Saya Impikan Sejak Sekian Lama”

Menurut Ameng, kenyataan tersebut adalah berdasarkan pengalaman peribadinya dalam industri sejak sekian lama.

“Saya cakap benda ni wujud daripada tahun 1989 lagi, juara tak popular. Daripada dulu. Saya masuk Muzik-Muzik, setiap lagu saya masuk Muzik-Muzik. Tapi saya kalah. Tapi mana pergi juara-juara tu? Mana juara-juara tu?

“Saya juga yang duduk pikul mikrofon ni menyanyi sana sini, sana sini. Itu yang saya cakap dengan anak saya, Azeva. Tetapi saya tengok dia ada kesempatan dekat situ, nak menumpang cerita ni. Jadi saya anggap sebenarnya Liza Hanim, dia membuat satu publisiti murahan dan cuba menumpang glamor saya. Saya anggap benda tu,” dakwanya.

Mengulas pertanyaan media yang menegaskan Liza tidak memetik nama Ameng, pelantun lagu Sampai Hati itu mendakwa kenyataan ‘senior’ yang disebut memang merujuk kepada dirinya.

“Dia petik! Dia kata penyanyi senior. Okey? Ha… kalau dia kata somebody tak apa. Penyanyi siapa? Kau penyanyi? Senior siapa? Kau pun senior? Akulah! Penyanyi senior yang buat live TikToker siapa sekarang ni? Penyanyi senior TikToker? Sayalah,” dakwanya lagi.

Ameng turut menambah dia tidak pernah mencari masalah dengan mana-mana pihak, namun tidak akan berdiam diri jika diserang.

“Betul saya cakap. Dan saya cakap dengan sesiapa dekat sini, saya tak pernah cari pasal dengan orang tahu. Tetapi kalau orang cari pasal dengan saya, saya takkan berpuas hati. Itu je. Dan saya anggap dia cari glamor, cari publisiti murahan dan dia sebenarnya nak tumpang populariti saya,” dakwanya lagi.

Scroll to Top