Skuad hoki wanita Pahang pincang

Skuad hoki wanita Pahang pincang

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Tanpa kelibat empat pemain utama menyebabkan skuad Pahang kini seolah pincang pada saing Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) MHL-TNB 2026 yang mula membuka tirainya kelmarin.

Ketua jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad berkata, pada saingan kali ini khidmat seramai 11 pemain Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 ditagih manakala selebihnya pemain muda yang kali pertama membawa cabaran Tok Gajah di pentas kebangsaan.

Menurutnya, walaupun tewas 0-3 di tangan Terengganu pada perlawanan pertama LHWM MHL-TNB 2026 kelmarin, semangat yang dipamerkan barisan pemain boleh dibanggakan apabila memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Saya tidak menyalahkan pemain berikutan kekalahan kelmarin kerana mereka telah memberi yang terbaik sepanjang perlawanan, tentangan diberikan tidak cukup untuk menjinakkan lawan yang memiliki beberapa pemain serta bekas pemain kebangsaan.

“Lawan beraksi dengan lebih dan tiga jaringan dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti, tanpa empat pemain utama Tok Gajah begitu pincang,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pemain yang beraksi pada saingan LHWM kali ini, turut akan membawa cabaran Pahang pada Sukma Selangor 2026, Ogos depan.

Pada Sukma Sarawak 2024, Pahang meraih pingat emas buat kali kedua berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top