MELAKA: Melaka FC mencacatkan reputasi Sabah FC yang baru menjuarai Piala Cabaran empat hari lalu apabila menewaskan pasukan itu 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Skuadsang Badak masih segar dengan kemenangan 4-3 ke atas Penang FC untuk bergelar juara, berhajat besar mahu meneruskan aksi cemerlang namun gol tunggal penyerang import Skuad Sang Kancil, Dino Kalesic memadamkan hajat itu.
Buat Melaka FC kemenangan tersebut amat diidam-idamkan ketika aksi Liga Super berbaki empat perlawanan lagi bagi mengelakkan pasukan terus menduduki dua anak tangga tercorot.
Kemenangan tipis itu membantu skuad bimbingan jurulatih E. Elavarasan berada di tangga ke 10 mengambil kedudukan Sabah yang turun ke tangga ke-11 ekoran kekalahan yang dialami.
Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terlalu berhati-hati memulakan rentak sebaik pengadil perlawanan Mohd Fusser Mad Sallih.
Bagaimanapun, Sabah mencemaskan tuan rumah apabila pemainnya Ernesto Amantegui melakukan rembatan namun meliar keluar pada minit ke-10.
Pelawat terus menguasai apabila penyerangnya, Chris Marlon hampa rembatan kencangnya ditepis keluar penjaga gol Melaka, Samuel Jacob pada minit ke-33.
Anak didik jurulatih Elavarasan lebih banyak bertahan dengan serangan bertali arus dipamerkan skuad di bawah bayu cuba mencari gol awal.
Namun pada minit ke-58 tuan rumah hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan pemain importnya Dino Kalesic sekadar ke dakapan penjaga gol, Damien Chien Khai Lim.
Sabah juga turut hampa apabila sepakan kencang pemain gantian Fergus Tierney sekadar menyingahi tiang gol sebelah kanan ketika penjaga gol Melaka FC sudah tertewas pada minit ke-65.
Namun dua minit selepas itu tuan rumah memecah kebuntuan jaringan gol menerusi jaringan Kalesic pada minit ke-67.
Tersentak gol tersebut Sabah terus mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun hampa keampuhan benteng pertahanan tuan rumah.-UTUSAN




