mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Langat: Daripada terpaksa mengumpul duit syiling untuk mengisi minyak kereta dan membeli beras, kini pasangan suami isteri ini mampu menikmati kehidupan lebih stabil hasil usaha membina kehidupan bersama sejak mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu.
Bagi Syahidatul Azimah Azmi, 34, perjalanan bersama suaminya, Abubakar Sanusi, 30, bukanlah mudah, terutama pada awal perkahwinan mereka pada September 2016.
Ketika itu, Abubakar baru berusia 20 tahun manakala Syahidatul berusia 24 tahun dan berkenalan di Madrasah Syeikhul Ariffien di Melaka, ketika Syahidatul bekerja di situ dan suaminya pula menuntut di madrasah berkenaan.
Syahidatul berkata, hanya selepas tiga bulan berkenalan secara serius, mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, walaupun masing-masing berasal daripada keluarga berkemampuan, mereka memilih untuk membina kehidupan sendiri selepas berkahwin.
“Ketika itu suami menjalani latihan sebagai mekanik kereta dengan menerima elaun sebanyak RM250 sebulan manakala saya bekerja dengan gaji sebanyak RM1,000.
“Jumlah pendapatan yang terhad menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat bagi memastikan semua komitmen dapat dipenuhi. Pernah sampai satu tahap kami terpaksa mengumpul duit syiling untuk mengisi minyak kereta dan membeli beras,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Syahidatul, memang bukan mudah ketika itu, tetapi mereka lalui semuanya bersama-sama.
Bagaimanapun, kesusahan yang dilalui tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengubah kehidupan.
Kini, Abubakar menguruskan perniagaan bengkel kereta di Bandar Saujana Putra di sini, sekali gus membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan stabil berbanding pada awal perkahwinan.
Mengimbas kembali kejutan menerima hadiah kereta daripada suaminya baru-baru ini, Syahidatul berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima hadiah berkenaan.
“Proton Persona digunakan sejak 2012, sebelum berkahwin lagi dan semakin kerap mengalami kerosakan sehingga menyukarkan urusan harian.
“Saya hanya meminta sebuah Perodua Axia daripada suami, asalkan mempunyai kenderaan yang mudah digunakan untuk bergerak ke mana-mana,” katanya.
Namun, hadiah Mitsubishi XForce itu membuatkannya terkejut dan sebak kerana ia mengingatkannya kepada perjalanan panjang yang mereka lalui bersama.
“Apabila fikir balik, jauh perjalanan kami sejak zaman nak cukupkan duit untuk beli beras dan isi minyak, sampailah ke hari ini. “Bukan soal kereta itu semata-mata, tetapi apabila melihat kembali perjalanan kami sejak awal berkahwin, terasa banyak sangat perkara yang sudah kami lalui bersama.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang kami ada hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




