CATL Shenxing Gen 3: Bateri EV boleh Dicaj Bawah 4 Minit

CATL Shenxing Gen 3: Bateri EV boleh Dicaj Bawah 4 Minit

Syarikat bateri terbesar dunia iaitu CATL baru-baru ini memperkenalkan bateri generasi ketiga Shenxing berasaskan teknologi LFP (Lithium Iron Phosphate). Apa yang menjadikan bateri ini luar biasa bukan sekadar teknologi baharu, tetapi kelajuan pengecasannya yang hampir menyamai pengalaman mengisi minyak kereta petrol.

Menurut data yang didedahkan, bateri ini mampu dicas daripada 10% ke 80% dalam hanya 3 minit 44 saat sahaja. Manakala pengecasan sehingga 98% pula mengambil masa sekitar 6 minit 27 saat. Ini merupakan lonjakan besar berbanding kebanyakan kereta elektrik hari ini yang biasanya memerlukan antara 20 hingga 30 minit untuk mencapai tahap pengecasan yang sama.

Kelajuan pengecasan ini menyamai 10C iaitu paling laju setakat ini. Dalam dunia bateri, “C” merujuk kepada kadar pengecasan relatif terhadap kapasiti bateri itu sendiri. Secara mudah, 1C bermaksud bateri boleh dicas penuh dalam masa satu jam.

Jika kadar itu dinaikkan kepada 2C, maka masa pengecasan berkurang kepada kira-kira 30 minit. Apabila CATL menyatakan bateri Shenxing ini menyokong pengecasan pada kadar 10C, ini bermaksud secara teori bateri tersebut boleh dicas penuh dalam masa sekitar enam minit sahaja. Ini kerana 10C adalah sepuluh kali ganda lebih pantas daripada kadar asas 1C.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, bayangkan sebuah kereta elektrik dengan kapasiti bateri 60 kWh. Pada kadar 1C, ia memerlukan kira-kira satu jam untuk penuh. Tetapi pada kadar 10C, jumlah tenaga yang sama boleh dimasukkan dalam masa sekitar enam minit, dengan syarat sistem pengecasan dan pengurusan haba mampu menyokongnya.

Dalam kes Shenxing generasi ketiga ini, CATL malah mendakwa kadar puncak boleh mencapai sehingga 15C dalam keadaan tertentu, menjadikan proses pengecasan lebih pantas lagi dalam fasa awal.

Salah satu cabaran terbesar dalam dunia EV ialah keseimbangan antara kelajuan pengecasan, keselamatan dan jangka hayat bateri. Pengecasan yang terlalu pantas boleh menghasilkan haba berlebihan, mempercepatkan degradasi bateri, atau dalam kes yang ekstrem, menyebabkan risiko keselamatan.

Berbanding bateri jenis NMC, bateri LFP lebih stabil dari segi kimia dan kurang terdedah kepada risiko thermal runaway. Ini membolehkan ia menyokong kadar pengecasan yang jauh lebih agresif tanpa mengorbankan keselamatan.

CATL juga membangunkan struktur dalaman sel bateri dimana sistem pengaliran ion serta pengurusan haba yang lebih efisien untuk memastikan pengecasan ultra pantas ini boleh dicapai secara konsisten untuk kegunaan awam, bukannya sekadar dalam keadaan makmal.

Satu lagi aspek menarik ialah prestasi bateri ini dalam suhu rendah. Biasanya bateri EV akan mengalami penurunan prestasi yang ketara dalam cuaca sejuk kerana pergerakan ion menjadi lebih perlahan. Namun Shenxing Gen 3 dilaporkan masih mampu dicas daripada 20% ke hampir penuh dalam sekitar 9 minit walaupun pada suhu serendah -30°C.

Ini menunjukkan peningkatan besar dalam keupayaan bateri untuk beroperasi dalam pelbagai keadaan iklim, terutamanya bagi pasaran seperti China utara dan Eropah.

Kehadiran bateri dengan kadar pengecasan setinggi 10C ini berpotensi mengubah cara orang melihat kereta elektrik secara keseluruhan. Salah satu kebimbangan utama pengguna, iaitu range anxiety boleh dikurangkan secara drastik kerana masa menunggu untuk mengecas menjadi sangat singkat.

Pengeluar kereta juga mungkin tidak lagi perlu menggunakan bateri yang terlalu besar untuk mencapai jarak perjalanan yang panjang. Dengan pengecasan yang sangat pantas, bateri bersaiz lebih kecil sudah memadai, sekali gus membantu mengurangkan kos dan berat kenderaan.

Dalam jangka panjang, stesen pengecasan EV juga boleh berfungsi hampir seperti stesen minyak, di mana pengguna hanya perlu berhenti beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan.


Scroll to Top