GERIK: Seorang lelaki bertindak tidak senonoh apabila dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita sebuah pasar raya di Jalan Tun Saban, di sini hari ini.
Kejadian itu tular selepas video berdurasi dua minit 31 saat yang dirakam mangsa tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman tersebut, lelaki dipercayai warga tempatan itu bertindak membuka zip seluarnya sebelum memegang kemaluan sambil memandang ke arah mangsa.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa memarahi suspek, namun lelaki terbabit bertindak balas dengan menunjukkan reaksi tidak berpuas hati dan menuduh mangsa bersikap kurang ajar.
Berlaku pertengkaran antara suspek dan pekerja pasar raya berkenaan sebelum lelaki itu beredar meninggalkan premis tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN




