Sejarawan Sharom Ahmat meninggal dunia pada usia 86 tahun

Sejarawan Sharom Ahmat meninggal dunia pada usia 86 tahun

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejarawan dan bekas pentadbir Universiti Sains Malaysia (USM), Sharom Ahmat, meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fakhitah Darus, dua anak lelaki, Azmi dan Azlan serta lima cucu.

Anaknya, Azmi berkata, bapanya seorang ahli akademik yang disegani dan pentadbir universiti yang cemerlang.

“Namun bagi kami, beliau seorang suami, bapa dan datuk yang penyayang serta amat disayangi oleh ahli keluarga,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dilahirkan pada September 1939, Sharom dikenali atas sumbangannya sebagai sejarawan serta kerjaya panjang dalam bidang pendidikan tinggi termasuk memegang beberapa jawatan kepemimpinan penting di USM.

Beliau memperoleh ijazah kepujian kelas pertama dalam bidang sejarah dari University of Singapore pada 1962, sekali gus menjadi orang Melayu pertama mencapai pencapaian di universiti berkenaan.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam sejarah Amerika di Brown University, Rhode Island, Amerika Syarikat, sebelum meraih ijazah kedoktoran dalam sejarah Asia Tenggara dari School of Oriental and African Studies, University of London pada 1969.

Kerjaya akademiknya bermula di University of Singapore pada 1963 sebagai pensyarah pembantu dalam bidang sejarah sebelum dinaikkan pangkat sebagai pensyarah kanan dan timbalan dekan fakulti sastera dan sains sosial.

Pada 1973, beliau menyertai USM sebagai profesor sejarah dan Dekan Pengajian Kemanusiaan. Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Pertama (hal ehwal pelajar) universiti itu, selain memegang jawatan kanan dalam hal ehwal akademik serta penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon, berkata beliau mula mengenali Sharom ketika berkhidmat di USM dari 1975 hingga 1982.

Menurutnya, Sharom seorang yang lemah lembut, berfikiran tajam, namun merendah diri dan sentiasa membantu, selain disifatkan sebagai pendidik berdedikasi yang memberi impak besar.

“Selepas meninggalkan USM, Sharom dilantik secara pro bono untuk mengetuai sebuah pusat komuniti di George Town, termasuk menyelia pembangunan serta pengagihan kemudahan.

“Beliau kemudian menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Pertama Wawasan Education Foundation pada 2002, yang turut menyelia pembangunan Wawasan Open University dan Disted College.

“Sumbangan beliau kepada USM, Disted dan WOU amat besar dan akan sentiasa dikenang,” katanya.

Bekas Presiden Penang Heritage Trust, Choong Sim Poey, berkata Sharom sekian lama menyokong usaha membina masyarakat majmuk yang lebih bersatu dan berintegrasi.

Menurutnya, mereka turut bekerjasama dalam satu dana kecil bagi menyokong organisasi bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam pendidikan dan integrasi masyarakat.

Seorang lagi rakan, Lim Mah Hui dari Penang Forum, menyifatkan Sharom sebagai insan contoh yang banyak menyumbang kepada masyarakat, selain mengagumi sifat rendah diri, integriti dan keikhlasan beliau.

Selain peranan pentadbiran, Sharom juga dikenali melalui penulisan ilmiahnya, khususnya berkaitan sejarah Kedah dan hubungan Kedah-Siam.

Solat jenazah dan pengebumian berlangsung hari ini antara jam 4.30 hingga 5 petang di Masjid Jamek Sungai Gelugor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top