am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Nasib Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, yang kini ditahan di Toyamanishi, Jepun, hanya akan diketahui pada sesi perbicaraan terakhirnya esok di Mahkamah Rendah Toyama.
Berita Harian melaporkan peguam dilantik keluarganya, Datuk Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, berkata segala keputusan esok bergantung kepada hujahan pihak peguam bela dan pendakwa raya pada tarikh 16 April lalu.
Katanya, Faiq bernasib baik kerana ayahnya hadir pada tarikh berkenaan sekali gus membantu mitigasi yang dibuat oleh peguam bela.
“Sudah lebih enam bulan Faiq ditahan di sana dan segala khabar angin yang mengatakan dia sudah mengaku salah itu tidak benar.
“Ini kerana esok adalah hari kedua perbicaraannya selepas kali pertama pada 16 April lalu. Bagaimana dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sudah mengaku bersalah pada bulan Februari adalah sama sekali tidak benar.
“Saya juga sudah berjumpa dengan peguam bantuan guaman itu untuk mengetahui secara tepat perkembangan terkini, bagaimanapun memandangkan saya bukan peguam yang berdaftar di negara ini, tindakan dan usaha saya adalah terbatas,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau hadir bersama bapa mangsa, Mohd Jailani dan akan hadir pada sesi perbicaraan itu bagi memantau lanjut perbicaraan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Faiq yang berlepas ke Jepun pada November lalu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian beroperasi di negara itu yang kemudian membawa kepada penahanannya di Toyama.
Dimaklumkan, terdapat percanggahan maklumat berhubung tangkapannya, termasuk laporan awal mendakwa dia ditahan bersama wang dan emas bernilai sekitar RM500,000.
Faiq disiasat pada November lalu di bawah Artikel 246 (1) Kanun Keseksaan Jepun berkaitan penipuan serta Artikel 60 kanun sama bagi kesalahan dilakukan secara bersama-sama, yang hampir sama dengan Seksyen 420 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan negara Malaysia.
Noor Svetlana berkata, selepas pertuduhan dibacakan pada 16 April lalu, Faiq yang kelihatan sugul terus mengaku bersalah.
“Sebelum prosiding mahkamah bermula pada 16 April lalu, kami tidak dapat bercakap langsung dengan Faiq.
“Bagaimanapun, saya harap esok ada keajaiban berlaku dan hukuman ringan dijatuhkan. Jika dijatuhkan hukuman berat, sukar untuk dia balik segera.
“Saya juga merayu kepada peguam bantuan guaman itu untuk membantu sedaya upaya kerana keluarga ini bukanlah dari keluarga yang senang kerana bapanya hanya pemandu ambulans dan ibunya adalah suri rumah,” katanya.
Orang ramai dimohon untuk terus memberikan bantuan bagi menampung urusan di sana menerusi https://svetlananordin.com/bantufaiq/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




