am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Senjata api raifal jenis M16 yang dirampas dalam serbuan di Kampung Maik, Gua Musang, Isnin lalu, sudah dihantar ke unit forensik bagi tujuan siasatan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah itu bagi mengenal pasti nombor siri senjata berkenaan sama ada ia milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau diseludup dari luar negara.
“Kes ini sangat jarang berlaku dan kita sedang menjalankan siasatan forensik untuk mengenal pasti nombor siri senjata berkenaan.
“Di Malaysia, senjata automatik seperti M16 tidak dilesenkan kepada orang awam dan hanya senapang patah (shotgun) dibenarkan untuk tujuan lesen memburu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, setakat ini pihak polis masih memburu suspek utama yang juga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan, wanita ditahan didakwa memiliki lima laras senjata api dan satu pam angin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak, Gua Musang pada Selasa lalu.
Suspek bagaimanapun mendakwa kesemua senjata itu milik suaminya.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata, wanita berusia 31 tahun itu memaklumkan tidak mengetahui apa-apa berkenaan mengenai senjata api itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




