bhnews@bh com.my
Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru majikan swasta mempertimbangkan aturan kerja fleksibel seperti sektor awam, termasuk amalan Bekerja Dari Rumah (BDR), demi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja.
Beliau berkata, dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam menguruskan operasi.
“Dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan yang serius angkara konflik yang terus meruncing di Asia Barat sememangnya memberikan impak besar, bukan sahaja kepada kestabilan serantau, malah kepada ekonomi dan keselamatan global.
“Kesannya kepada negara nyata jikalau krisis ini tidak dileraikan dalam masa terdekat, negara akan terdedah kepada kesan ekonomi yang lebih sistemik, umpamanya kos logistik meningkat, tekanan harga terus memuncak, dan gangguan kepada sektor pembuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, cabaran semasa yang dihadapi ketika ini menjadikan pengurusan hasil serta perbelanjaan negara lebih kritikal daripada sebelumnya.
Justeru, dalam saat mencabar, seluruh jentera kerajaan mesti memperkukuh tatakelola, setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan berhemah, ruang ketirisan mesti ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan mesti dipergiatkan.
Tegasnya, sektor swasta pula tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang sudah berubah.
“Sebaliknya, inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi, dan mencambah nilai tambah serta kemampanan.
“Kerajaan sudah menyediakan kerangka Ekonomi MADANI serta dasar yang jelas untuk mengangkat martabat dan harakat negara yang mana sektor swasta mesti memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



