PETALING JAYA: Bank Rakyat menawarkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang menjadi mangsa dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu melibatkan Pembiayaan Perumahan-i, Peribadi-i, Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i, tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.
“Kami menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terkesan oleh tragedi kebakaran ini yang mana memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah.
“Tawaran penangguhan bayaran ansuran pembiayaan ini merupakan salah satu langkah proaktif Bank Rakyat yang sentiasa bersedia untuk membantu pelanggan kami dalam waktu yang sukar.
“Bank Rakyat berharap agar mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi cabaran yang tidak diduga ini dan semoga bantuan penangguhan bayaran pembiayaan ini dapat memberikan kelegaan serta mengurangkan beban kewangan yang mereka hadapi,” tambah Bank Rakyat.
Pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel [email protected] atau [email protected] bagi pemegang Kad Kredit-i.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.bankrakyat.com.my dan media sosial rasmi @mybankrakyat atau kunjungi cawangan, Pusat Kad dan Susulan Berpusat Bank Rakyat yang berdekatan serta hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300 800 800.




