Bangunan baharu Columbia Asia Hospital Cheras dibuka, memperkukuh kesihatan komuniti

Bangunan baharu Columbia Asia Hospital Cheras dibuka, memperkukuh kesihatan komuniti

BANGUNAN baharu Columbia Asia Hospital Cheras (CAHC) kini dibuka secara rasmi, sekali gus menandakan usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Cheras dan kawasan sekitarnya.

Hospital di bawah kumpulan Asia OneHealthcare itu turut menyaksikan peningkatan kapasiti, penambahan kemudahan serta kepelbagaian kepakaran perubatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau CAHC, Engku Marina Engku Hatim berkata, perluasan itu dibuat susulan bilangan penduduk semakin meningkat, pertambahan warga emas serta kes perubatan yang semakin kompleks khususnya di kawasan bandar pesat membangun seperti Cheras.

“Dalam komuniti yang sedang pesat membangun seperti Cheras, akses segera kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti menjadi semakin penting.

“Perluasan ini bukan sekadar untuk menambah kapasiti, tetapi untuk memperkukuh keupayaan kami untuk menangani keperluan kesihatan yang semakin kompleks, menyokong intervensi awal, serta memberi hasil yang positif untuk komuniti kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hanifah Hajar (dua kanan) ketika melawat sekitar hospital berkenaan.

Hanifah Hajar (dua kanan) ketika melawat sekitar hospital berkenaan.

Bangunan baharu itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib dan hadir sama, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Asia OneHealthcare, Dr Chan Boon Kheng.

Engku Marina berkata, dengan perluasan berkenaan, kapasiti hospital meningkat daripada 78 kepada 180 katil, termasuk tiga katil isolasi, 56 bilik persendirian, serta lapan katil di Unit Khidmat Pembedahan Ambulatori.

Selain itu, katanya, hospital berkenaan turut menambah klinik pakar serta menubuhkan Pusat Saringan Kesihatan khusus bagi tujuan pencegahan penyakit dan pengesanan awal.

“Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Cheras Selatan, Balakong, Sungai Long, Kajang, Seri Kembangan, Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Pusat Dialisis juga sedang dalam pembangunan dan dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun 2026.

“Perluasan ini turut memperkukuh keupayaan klinikal hospital dengan adanya subkepakaran berpermintaan tinggi seperti bedah saraf, obstetrik dan ginekologi, perubatan ibu dan janin, pembedahan tangan dan mikrosurgeri, trauma ortopedik serta pembedahan payudara dan endokrin,” katanya.

Sementara itu, Dr Chan berkata, peluasan hospital berkenaan selari dengan sambutan 30 tahun operasi Columbia Asia di Malaysia dan mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperluaskan akses penjagaan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.

Ujarnya, usaha berkenaan bukan sekadar pelaburan infrastruktur, tetapi komitmen jangka panjang untuk memastikan komuniti terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan diyakini.

“Dengan perluasan ini, Columbia Asia Hospital Cheras mengukuhkan lagi peranannya sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dipercayai di Lembah Klang, mendokong individu, keluarga dan perniagaan dengan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang lebih dekat dengan komuniti,” katanya.

Scroll to Top