Keazaman, kesungguhan dalam ibadah haji

Keazaman, kesungguhan dalam ibadah haji

IBADAH haji merupakan Rukun Islam kelima yang diwajibkan ke atas setiap Muslim sekali seumur hidup apabila sempurna syarat-syaratnya berdasarkan firman ALLAH SWT:

“Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu (bagi) orang yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali Imran: 97)

Bagi umat Islam di Malaysia, penerbangan pertama jemaah haji pada tahun ini telah pun berangkat pada 18 April lalu.

“Didoakan semoga para jemaah yang terpilih mengerjakan haji pada tahun ini dikurniakan haji yang mabrur dan tiada balasan lain bagi haji mabrur melainkan syurga,” ucap khatib pada permulaan khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan dibacakan di seluruh negeri Perak pada Jumaat lalu.

Menurut JAIPk, fadilat ibadah berkenaan amat luar biasa iaitu diampunkan segala dosa berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan ibadah haji semata-mata kerana ALLAH dan dia tidak menurutkan perkara keji dan tidak melakukan kefasikan, maka dia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa). (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Khatib kemudiannya berpesan kepada jemaah yang terpilih mengerjakan ibadah haji pada tahun ini untuk bersukur dan menyatakan mereka merupakan tetamu yang telah dipilih ALLAH SWT.

“Bagi yang belum terpilih untuk mengerjakan haji, teruskan berdoa dengan azam dan kesungguhan selain memohon ihsan Ilahi untuk disenaraikan sebagai tetamu ALLAH dalam masa terdekat.

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (tengah) menyantuni para petugas haji pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Lembaga Tabung Haji di Sepang baru-baru ini. Foto BERNAMA

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (tengah) menyantuni para petugas haji pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Lembaga Tabung Haji di Sepang baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Selain itu, jemaah juga hendaklah menyimpan dan menabung untuk menunaikan haji di samping mempelajari, mengikuti ceramah dan menghadirkan diri ke kursus-kursus haji.

“Itu semua membuktikan kesungguhan azam dan niat kita mahu menunaikan ibadah haji,” jelasnya.

Dalam khutbah tersebut, JAIPk turut menarik perhatian jemaah untuk memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

1 – Istito’ah atau berkemampuan syarat wajib haji

Salah satu syarat wajib haji ialah kemampuan atau istito’ah sama ada bersifat kewangan, keselamatan, kesihatan atau kuota haji.

Menabung untuk mencukupkan dana menunaikan haji amat digalakkan, bermula dengan membuka akaun simpanan haji, menetapkan sasaran simpanan secara bulanan biarpun sedikit tetapi berterusan, melalui potongan gaji bulanan atau melalui perancangan pendapatan dan perbelanjaan secara bijak.

Ibu bapa dianjurkan mendidik anak-anak dengan merintis usaha membuka akaun simpanan atau menabung untuk tujuan haji sejak mereka kecil lagi atau sebaik mereka dilahirkan.

Setiap ringgit yang disimpan dengan niat mengerjakan haji, membuktikan azam dan kesungguhan kita dan merupakan ibadah yang dilimpahi keberkatan. Hakikatnya, ibadah haji mendidik ummah untuk berfikir tentang masa hadapan.

2 – Haji bukan ibadah pada usia tua

Ibadah haji tidak sepatutnya dijadikan ibadah yang diniatkan untuk dikerjakan setelah mencecah usia tua. Ini kerana ibadah haji melibatkan bermusafir, perjalanan yang jauh, mengerjakan rukun-rukun haji yang memerlukan banyak pergerakan jasmani yang mencabar seperti tawaf, saie, melontar jamrah, berwukuf, bermalam di Muzdalifah dan Mina dan pelbagai lagi.

TERUSKAN berdoa agar ALLAH SWT memilih kita untuk menjadi tetamu-NYA di Tanah Suci. Foto Canva

TERUSKAN berdoa agar ALLAH SWT memilih kita untuk menjadi tetamu-NYA di Tanah Suci. Foto Canva

Oleh itu ibadah haji sebaiknya dikerjakan ketika usia masih muda, ketika tubuh badan masih sihat, kuat dan cergas.

3 – Kuota haji salah satu syarat istito’ah

Oleh itu ummah dinasihatkan agar segera mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji, sebaiknya pada usia muda, ketika masih dalam usia kanak-kanak, malah sebaik bayi dilahirkan agar nama mereka terpilih mengerjakan haji pada usia yang muda.

4 – Nilai-nilai murni dalam ibadah haji

Ibadah haji sarat dengan nilai-nilai perpaduan, pengorbanan, kesabaran, kesyukuran, muhasabah diri, persamaan sesama manusia, penyucian jiwa, tunduk dan patuh kepada Ilahi, keinsafan dan keikhlasan.

5 – Persiapan ilmu pengetahuan untuk raih haji mabrur

Umat Islam disarankan sentiasa membaca, mempelajari dan mengikuti kuliah atau perkongsian pengalaman berkaitan ibadah haji.

Kefahaman yang betul tentang syarat-syarat sah haji, rukun dan wajib haji, larangan dalam ihram, jenis-jenis haji, doa dan zikir dan lain-lain akan menatijahkan haji yang mabrur.

Bagi mereka yang berkemampuan tetapi belum tiba giliran terpilih mengerjakan haji, dianjurkan menunaikan umrah terlebih dahulu kerana umrah memberikan pendedahan amali yang terbaik untuk menghayati rukun-rukun mengerjakan haji.

6 – Kesihatan yang baik

Jemaah haji perlu melepasi tapisan kesihatan yang ditetapkan untuk melayakkan mereka ditawarkan tempat mengerjakan haji.

SEBAHAGIAN 141 petugas mengaminkan doa pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini. Foto BERNAMA

SEBAHAGIAN 141 petugas mengaminkan doa pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini. Foto BERNAMA

7 – Berdoa dengan penuh azam

Berniat dan berusaha bersungguh-sungguh mahu mengerjakan ibadah haji walaupun kewangan belum mencukupi.

8 – Pengiktirafan Arab Saudi

Kerajaan Arab Saudi telah memberikan pengiktirafan tertinggi kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji sebagai pengurusan haji terbaik dunia.

Malaysia diiktiraf kerana jemaah haji berjaya mengamalkan penjagaan kebersihan dan disiplin yang tinggi serta sistem disiplin dan pengurusan yang terbaik.

Oleh itu diingatkan kepada para jemaah agar menjaga adab dan akhlak, bersabar dan berdisiplin, saling membantu sesama jemaah serta menjaga kebersihan dan ketertiban semasa mengerjakan ibadah haji.

Scroll to Top