am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerajaan berjaya mencatatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM263.41 juta sejak pelaksanaan Ops Tiris bermula pada 1 Mac 2023 hingga 31 Mac lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata sebanyak 6,773 kes dihasilkan sepanjang tempoh penguatkuasaan yang dijalankan bagi membanteras penyeludupan barangan kawalan terutama diesel sehingga kini.
Menurutnya, sehingga kini Ops Tiris sudah memasuki fasa 4.0 iaitu penguatkuasaan yang dijalankan secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Katanya, Fasa 1.0 dan 2.0 Ops Tiris dimulakan dengan memberi tumpuan kepada ketirisan diesel manakala Fasa 3.0 dan 4.0 (Bersepadu) turut memberi tumpuan kepada barangan lain seperti Petrol RON95, gas cecair asli (LPG), minyak masak, gula serta tepung gandum.
“Setakat ini kalau kita boleh tengok jumlah rampasan bawah rangka kerja Ops Tiris sahaja telah mencapai sebanyak RM263.41 juta. Ini bawah Ops Tiris sahaja, tidak termasuk ops-ops yang lain.
“Ia melibatkan sebanyak 6,773 kes yang membabitkan tangkapan seramai 2,219 dengan hampir 80 peratus adalah terdiri daripada warganegara Malaysia sendiri,” katanya pada sidang media pencapaian penguatkuasaan Ops Turus 2025 – Mac 2026, di sini, hari ini.
Melalui jumlah berkenaan, Ops Tiris 3.0 menjadi fasa paling berjaya dengan nilai rampasan tertinggi iaitu mencecah RM188.22 juta manakala Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) terus mengekalkan momentum penguatkuasaan dengan merekodkan nilai rampasan berjumlah RM16.85 juta, membabitkan tempoh yang singkat.
Azman berkata, kejayaan tiga fasa terdahulu Ops Tiris turut dilengkapkan dengan penugasan pegawai-pegawai KPDN di lapan stesen pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menyumbang kepada pengekangan pergerakan keluar barang-barang kawalan negara ke negara asing, termasuk melalui pemeriksaan terhadap pelbagai kenderaan yang melalui pintu masuk.
Katanya, bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 22 semalam Bahagian Penguatkuasaan KPDN sudah membuat pemeriksaan ke atas 124,477 kenderaan dengan sebanyak 14 kes kumulatif berkaitan diesel dan petrol dikesan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah, RM143,477.50.
Azman berkata, pada masa sama, pihaknya juga sentiasa peka dengan perubahan modus operandi yang digunakan penyeludup termasuk penipuan ‘fleet card’, pengubahsuaian tangki minyak serta tangka minyak tambahan dan pembelian berulang dalam tempoh singkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




