Slot mahu Liverpool atasi badi Palace di Anfield

Slot mahu Liverpool atasi badi Palace di Anfield

Liverpool: Arne Slot memberi amaran bahawa jurang sangat kecil dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Liverpool mahu mengukuhkan usaha untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

The Reds kini berada di tangga kelima liga selepas meraih dua kemenangan berturut-turut, dengan kelebihan lima mata di depan Brighton yang bermain lebih satu perlawanan.

Lima pasukan teratas Liga Perdana akan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

Liverpool berdepan tugas sukar menentang Crystal Palace malam esok, pasukan yang gagal mereka kalahkan dalam tiga pertemuan setakat musim ini.

Slot ditanya dalam sidang media pra-perlawanan sama ada beliau sudah mula merancang untuk musim depan selepas kempen mempertahankan kejuaraan yang mengecewakan, namun beliau mahu fokus diberikan kepada baki musim ini.

“Sudah tentu ada perbincangan mengenai musim depan, tetapi tumpuan penuh saya masih dan sepatutnya kekal pada musim ini kerana jurangnya sangat kecil,” kata pengendali Liverpool itu.

“Satu atau dua keputusan boleh membawa perubahan besar, seperti yang kita lihat. Dua minggu lalu kami tidak berada lima mata di depan pasukan di tangga keenam, tetapi selepas dua keputusan kami kini berada di situ. Jadi keadaan juga boleh berubah sebaliknya.

“Jadi fokus penuh saya ialah Palace, dan itu memang perlu kerana seperti yang anda tahu, kami sudah berdepan mereka tiga kali musim ini dan gagal menang sekali pun.”

Liverpool tewas kepada pasukan bimbingan Oliver Glasner menerusi penentuan penalti dalam Perisai Komuniti pembuka musim sebelum kalah dalam aksi Liga Perdana dan Piala Liga.

The Reds meraih kemenangan penting ke atas Fulham dan Everton bulan ini, namun turut mengalami kekalahan mengecewakan kepada Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara serta Manchester City dalam Piala FA.

“Dalam lapan perlawanan terakhir, kami mengutip 16 mata dan ia tidak selalu terasa begitu kerana di celah-celah itu kami perlu menentang PSG dan Man City,” kata Slot.

“Tetapi prestasi liga kami kebelakangan ini boleh diterima.”

Penjaga gol Alisson Becker tidak beraksi sejak pertengahan Mac akibat kecederaan, namun Slot berkata beliau semakin hampir kembali dan mungkin bersedia menentang Palace.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top