Kecekalan usahawan dodol Chik Ah dapat perhatian TPM Ahmad Zahid

Kecekalan usahawan dodol Chik Ah dapat perhatian TPM Ahmad Zahid

Kuala Lumpur: Kisah kegigihan seorang ibu tunggal warga emas Bakiah Omar, 89, yang menjadi antara pengusaha dodol berjaya di Perak mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap kisah kejayaan wanita yang mesra disapa sebagai Chik Ah itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat, terutama usahawan di luar bandar.

“Hari ini saya terbaca laporan mengenai kisah Chik Ah yang mendapat perhatian Bernama. Terus teringat saya pada beliau melalui sepucuk surat tulisan tangan yang saya terima tempoh hari bersama dodol hasil air tangannya.

“Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyokong usaha usahawan tempatan, khususnya usahawan desa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kisah kecekalan Chik Ah membesarkan 10 anak sambil mengusahakan perniagaan makanan tradisional, yang kini menjadi sumber rezeki utama keluarganya.

Sejak hampir lima dekad lepas, produk Dodol Lemak Manis Memikat Cik Ah kekal menjadi kegemaran masyarakat setempat, khususnya pada musim perayaan, selain sering dijadikan hidangan pada majlis keramaian dan buah tangan.

Beliau antara 178 usahawan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang menerima bantuan geran di Perak dan juga usahawan paling aktif menjana pendapatan daripada produk dodol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top