Rodri terlepas separuh akhir Piala FA, Guardiola tak mahu ambil risiko

Rodri terlepas separuh akhir Piala FA, Guardiola tak mahu ambil risiko

Manchester: Tonggak tengah Rodri disahkan terlepas aksi separuh akhir Piala FA menentang Southampton hujung minggu ini, namun pengurus Pep Guardiola kekal optimis mengenai proses pemulihannya.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang sebelum ini terpaksa berehat lebih tujuh bulan akibat kecederaan ligamen krusiat pada 2024, sekali lagi berdepan masalah apabila dikeluarkan ketika kemenangan 2-1 ke atas Arsenal, Ahad lalu.

Dia turut terlepas aksi kemenangan 1-0 ke atas Burnley yang menyaksikan Manchester City kini mendahului Liga Perdana Inggeris menerusi kelebihan jaringan berbanding Arsenal.

“Jika dia cedera semula dan kami kehilangannya untuk lima perlawanan seterusnya, itu kerugian besar kerana Rodri sangat penting.”

“Dia semakin baik, tetapi kami tidak mahu ambil risiko,” kata Guardiola.

Guardiola menegaskan penggiliran pemain dan aspek pemulihan menjadi kunci dalam tempoh genting musim ini, dengan City memburu kejuaraan liga serta Piala FA selepas sudah menjulang Piala Liga bulan lalu.

Menurutnya, keletihan jelas dirasai selepas aksi sengit menentang Arsenal, selain jadual perjalanan yang padat.

“Perlawanan itu sangat mencabar dari segi emosi. Ramai pemain keletihan.

“Nasib baik kami masih mempunyai ramai pemain cergas kecuali Ruben Dias, Rodri dan Josko Gvardiol.

“Persoalannya, adakah mereka bersedia bermain 90 minit atau mungkin masa tambahan, itu yang perlu kami nilai,” katanya.

Guardiola menambah pemainnya gembira berada di landasan memburu gelaran liga ketujuh sejak musim 2017-18, namun fokus kekal kepada perlawanan menentang Southampton.

“Mereka gembira, walaupun ada yang kurang bermain mungkin tidak begitu.”Kami hanya fokus pada perlawanan esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top