nurul_husna@mediaprima.com.my
DALAM penghasilan barangan kemas yang memiliki perincian batu hiasan seperti delima atau permata, ia sering dikaitkan dengan simbolik dan aura tertentu.
Malah, peminat hiasan batu permata contohnya, cenderung memilih pemakaian perhiasan batu berdasarkan makna tersirat, simbolik status dan aura personaliti.
Berikut antara batu hiasan yang sering dijadikan hadiah atau koleksi.
1. Berlian
Berlian antara batu hiasan semula jadi yang paling keras di bumi dan memiliki nilai yang cukup tinggi.
Harga berlian biasanya dinilai berdasarkan empat elemen iaitu karat berdasarkan berat berlian, potongan merujuk kepada cara berlian diasah memantulkan cahaya, warna dan tahap kejelasan atau ‘clarity’.
Berlian memiliki simbol berkait dengan cinta abadi, kesetiaan dan kemurnian.
Berlian juga dikaitkan dengan kekuatan kerana sifatnya yang paling keras.
Kebiasaannya, berlian digunakan oleh pasangan bertunang atau berkahwin selain individu yang mementingkan profesionalisme dan kemewahan klasik.
2. Delima
Delima ialah batu permata daripada varieti mineral korundum.
Warna merahnya yang ikonik berpunca daripada kehadiran unsur kromium dan semakin merah warnanya, semakin tinggi nilainya.
Di sebalik delima, ia dikatakan melambangkan keberanian, keghairahan (‘passion’) dan tenaga kehidupan.
Perhiasan ini sering dikaitkan dengan pemimpin atau individu yang mahukan keyakinan diri yang tinggi selain individu yang ingin menonjolkan sisi romantik dan berani.
3. Zamrud
Warna batu permata ini biasanya disebabkan oleh kehadiran kromium atau vanadium dalam komposisi mineralnya.
Zamrud sering digunakan dalam perhiasan mewah seperti cincin, rantai dan subang.
Zamrud kononnya melambangkan perkara seperti kesuburan dan ketenangan. Malah warnanya yang hijau pekat sering dikaitkan dengan kekayaan dan kebijaksanaan.
Perhiasan bertatahkan batu zamrud dikatakan sesuai untuk individu yang sukakan elemen alam semulajadi.
Malah, aura batu itu dikatakan sepadan dengan mereka yang bekerja dalam bidang kreatif atau memerlukan ketenangan minda.
4. Nilam
Nilam adalah varieti mineral korundum (aluminium oksida) dan antara batu permata paling berharga.
Nilam sering dikaitkan dengan simbol kejujuran serta kebijaksanaan.
Warna birunya sering dikaitkan dengan ketenangan jiwa, sesuai untuk individu yang memiliki personaliti tenang dan matang.
Nilam juga sesuai dipakai untuk majlis rasmi atau ke pejabat bagi menonjolkan imej yang boleh dipercayai.
5. Mutiara
Mutiara terbentuk apabila satu jasad asing (seperti butiran pasir atau parasit) masuk ke dalam badan moluska.
Mutiara dikatakan melambangkan keanggunan, kesucian dan kesabaran. Berbeza dengan batu lain, ia datang daripada hidupan laut, menjadikannya sangat unik.
Ia sesuai untuk majlis formal seperti perkahwinan atau jamuan makan malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




