KP SPRM: Abdul Halim Ganti Azam Baki, Berkuat Kuasa 13 Mei

KP SPRM: Abdul Halim Ganti Azam Baki, Berkuat Kuasa 13 Mei

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan kontraknya pada 12 Mei selepas menerajui suruhanjaya itu sejak 2020.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, kerajaan yakin Abdul Halim mampu menggalas amanah berkenaan berdasarkan pengalaman luas serta rekod integriti yang dimilikinya.

“Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelantikan itu dibuat ketika perhatian tertumpu kepada pengganti Azam susulan tempoh perkhidmatannya yang berakhir bulan depan.

Sebelum ini, Azam menerima beberapa lanjutan kontrak bagi terus menerajui SPRM selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020.

Terdahulu Sultan Ibrahim bertitah baginda sendiri akan menentukan calon baharu bagi menerajui SPRM memandangkan jawatan tersebut amat penting kepada negara.

Titah baginda, kedudukan itu perlu diisi individu yang mampu memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

KREDIT GAMBAR UTAMA: NSTP


Scroll to Top