Angkat Vibes Muzik Jiwang 90-an, El Riss & Fana Ibrahim Bergabung Dalam ‘Adat Bercinta’

Angkat Vibes Muzik Jiwang 90-an, El Riss & Fana Ibrahim Bergabung Dalam ‘Adat Bercinta’

Dua nama muda yang sedang meningkat dalam industri muzik tempatan, El Riss dan Fana Ibrahim, tampil dengan kolaborasi pertama menerusi single terbaharu berjudul Adat Bercinta.

Lagu ini membawa pendekatan lebih jujur dalam menggambarkan sesebuah hubungan, dengan penceritaan yang dekat dengan pengalaman kehidupan sebenar dan tidak hanya memfokuskan sisi indah percintaan semata-mata.

El Riss yang mula dikenali di platform TikTok sebelum mencipta impak besar menerusi lagu Lukisan dengan lebih 13 juta tontonan, terus memperkukuh kedudukannya sebagai penyanyi yang menitikberatkan emosi dalam setiap karya.

Menurutnya, Adat Bercinta yang bernuansa muzik jiwang 90-an lahir daripada pengalaman yang cukup peribadi.

“Lagu ini datang daripada rasa yang sangat jujur. Ia bukan sekadar cerita cinta yang manis, tapi turut menyentuh realiti hubungan yang ada pasang surut. Saya percaya ramai akan rasa dekat dengan apa yang cuba disampaikan,” katanya.

Dalam masa sama, Fana Ibrahim yang baru berusia 18 tahun semakin mencuri perhatian sebagai antara bakat baharu yang menyerlah. Selepas tampil dengan single pertama Tanpa Relaku, dia terus menonjol dengan kebolehan vokal dan kemahiran bermain gitar yang menjadi identitinya.

Pengalaman menyertai program realiti nyanyian turut membantu membina keyakinan dan memperkukuh kehadirannya dalam industri sebagai artis muda berpotensi.

Berkongsi mengenai kolaborasi ini, Fana mengakui peluang tersebut memberi makna besar dalam perjalanan seninya.

“Saya memang teruja bila tahu akan berduet dengan El Riss. Walaupun latar belakang kami berbeza, bila digabungkan, ia hasilkan warna yang lain dalam lagu ini,” ujarnya.

Menggabungkan kekuatan emosi dan elemen muzik yang segar, Adat Bercinta menampilkan keserasian vokal kedua-dua penyanyi yang disampaikan dengan penuh penghayatan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer Achik Asrain dan Adek Soraya, dengan tema yang menyentuh bukan sahaja keindahan cinta, tetapi juga cabaran, kejujuran dan kematangan dalam sesebuah hubungan.

Dengan gabungan dua bakat yang sedang meningkat naik serta naratif yang dekat dengan kehidupan, lagu ini dilihat berpotensi untuk mencuri perhatian pendengar tempatan.

Single Adat Bercinta kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.

Scroll to Top