ZIPS perkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi sumber marin

ZIPS perkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi sumber marin

am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Projek Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) mampu memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi berasaskan sumber marin dan dalam masa yang sama merancakkan sektor eko-pelancongan dan edu-pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ZIPS mampu menjadi pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan keterjaminan makanan serta penciptaan peluang ekonomi baharu di wilayah utara Selangor.

Menurutnya, pembangunan itu bukan sekadar projek fizikal tetapi usaha menyeluruh untuk membina ekosistem industri perikanan yang moden, berdaya saing dan mampan.

“Ia akan membuka peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan komuniti setempat serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Kita komited memastikan ZIPS menarik pelaburan berkualiti serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara inklusif dan berterusan.

“Ia akan dibangunkan sebagai ekosistem bersepadu yang merangkumi aktiviti akuakultur marin dan air tawar, pemprosesan hasil laut, logistik, kemudahan rantaian sejuk serta penyelidikan dan inovasi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran, di sini hari ini.

Amirudin berkata, pendekatan itu dijangka memperkukuh rantaian nilai industri perikanan negeri daripada peringkat pengeluaran hingga ke pasaran.

“ZIPS turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, khususnya dalam meningkatkan bekalan sumber protein berasaskan hasil laut.

“Peningkatan kapasiti pengeluaran tempatan akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan makanan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedudukan Sungai Lang yang strategik dan ditambah dengan jaringan infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Jambatan Sungai Air Tawar–Hutan Melintang, Perak akan meningkatkan kecekapan logistik serta mempercepat akses ke pasaran domestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top