NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup tirai penampilannya di laman sendiri dengan penuh gemilang apabila merangkul emas acara keirin lelaki pada Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai sebentar tadi.
Dalam suasana penuh emosi dan debaran, pelumba berusia 38 tahun itu menghadiahkan kemenangan bermakna yang dilihat sebagai penampilan terakhirnya di gelanggang keramat tersebut.
Bermula di kedudukan kelima daripada enam pelumba, Azizulhasni tampak tenang mengatur strategi sambil mengekori rapat kelompok hadapan.
Pusingan demi pusingan menyaksikan ikon yang digelar The Pocket Rocketman itu dipaksa bekerja keras apabila diasak hebat juara Olimpik lima kali dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Namun, saat penentuan tiba pada pusingan terakhir apabila Azizulhasni melancarkan henjutan luar biasa untuk memintas Lavreysen serta Nicholas Paul dalam satu aksi dramatik yang menggegarkan velodrom.
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan emas di hadapan penyokong sendiri, malah menjadi simbol kebangkitan semangat juang seorang legenda yang enggan mengalah.
Pelumba Jepun, Minato Nakaishi menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti Helal Rayan dan Henric Hackmann.
Lebih manis, kejayaan itu merupakan emas kedua Azizulhasni dalam acara keirin musim ini selepas turut mengungguli pusingan di Perth, Australia, Mac lalu.




