Henjutan magis Azizulhasni bawa emas

Henjutan magis Azizulhasni bawa emas

saifulaffendy@hmetro.com.my

Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara keirin pada aksi final di Piala Dunia Trek dekat Velodrom Nasional, hari ini.

Kejayaan itu menjadi hadiah paling bermakna buat Azizulhasni yang membuat penampilan terakhirnya di halaman sendiri.

Ia juga adalah kemenangan keduanya dalam Piala Dunia Trek tahun ini selepas muncul juara keirin pada siri pertama di Perth, Australia, Mac lalu.

Pada aksi final, pelumba berusia 38 tahun itu bermula di kedudukan kelima dan pada awalnya dilihat ketinggalan selain dikepung pelumba lain termasuk juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Namun, pengalaman luas dimiliki Azizulhasni jelas menjadi pemisah apabila dia melakukan henjutan luar biasa ketika memasuki pusingan terakhir untuk keluar daripada kepungan sebelum memecut melepasi garisan penamat selaku pemenang.

Lavreysen terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul.

Azizulhasni yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan turun beraksi dalam acara pecut, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top