
Perlepasan Kategori Separuh Marathon 21km IJM Allianz DHC 2025.
IJM Allianz Duo Highway Challenge (DHC) 2026 kembali menggegarkan kalendar larian negara apabila acara lebuh raya ikonik itu menyasarkan 15,000 peserta bagi edisi kelapan pada 2 Ogos ini.
Diperakui World Athletics, acara berprestij itu sekali lagi menawarkan pengalaman luar biasa apabila peserta berpeluang menawan dua lebuh raya utama negara — Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) — dalam satu perlumbaan kompetitif.
“Cabaran menawan dua lebuh raya utama dalam satu perlumbaan kekal menjadi identiti utama DHC dan faktor yang membezakan acara ini daripada larian lain di negara ini,” kata penganjur dalam kenyataan.
Pelepasan rasmi dijadual berlangsung di hadapan Sunway Pyramid, dengan empat kategori dipertandingkan merangkumi Maraton Penuh 42.195 kilometer (km), Separuh Maraton 21km, 10km dan 5km
Pendaftaran dibuka dari hari ini hingga 22 Jun menerusi laman rasmi acara, manakala peserta edisi terdahulu turut ditawarkan pelbagai insentif termasuk diskaun pendaftaran serta peluang naik taraf kategori pada kadar istimewa.
Sebagai rekod, sejak diperkenalkan pada 2017, DHC menarik lebih 70,000 penyertaan dari dalam dan luar negara, termasuk 13,000 pelari daripada 31 negara pada edisi tahun lalu.
Disokong pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia, DHC terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian komuniti paling berprestij dalam kalendar sukan tempatan.



