puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Trisha Ooi mengakui terpaksa melalui fasa persiapan amat mencabar demi menyertai kejohanan All Star Championship Dubai Edition yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, berkata dia mula menjalani latihan intensif sejak lima bulan lalu sebaik bersetuju menyertai pertandingan terbabit pada hujung tahun lalu.
“Persediaan sebenarnya saya sudah tahu sejak lima bulan lepas. Ketika itu saya masih dalam penggambaran, tetapi sebaik bersetuju untuk berlawan dalam perlawanan tinju ini, saya terus fokus pada latihan.
“Paling mencabar apabila saya perlu menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram. Sebelum ini berat saya sekitar 58 kilogram (kg) dan perlu menurunkan pada 50 kg sahaja demi memenuhi kriteria pertandingan,” katanya ketika ditemui semasa sesi fotografi untuk filem Nar’sata: Sekutu Setan di Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam.
Bercerita lanjut mengenai rutin hariannya, pelakon drama Surat Dari Tuhan ini mendedahkan dia memperuntukkan masa sekurang-kurangnya empat jam sehari untuk berlatih meskipun terikat dengan jadual seni yang padat.
“Latihan biasanya tidak kurang dari dua jam pada sebelah pagi dan dua jam pada waktu petang. Itu adalah tempoh minimum jika saya tidak terlibat dengan penggambaran.
“Kalau ada penggambaran bermula jam 8 pagi, saya sanggup bangun seawal jam 4 pagi untuk berlatih dan tidak lupa saya juga perlu menjaga pemakanan dengan sangat ketat,” katanya.
Terdahulu, Trisha dijadualkan menyertai perlawanan tinju profesional pertamanya, All Star Championship Dubai Edition yang akan berlangsung di Dubai pada 3 Mei ini.
Trisha dijadualkan berlepas ke Dubai pada 29 April ini dan akan berada di negara terbabit sehingga 5 Mei depan untuk bertarung dengan lawan dari Indonesia, Dinda Anwar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




