Washington: Suspek yang ditahan dalam insiden tembakan di Majlis Makan Malam Koresponden Rumah Putih pada Sabtu dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, lelaki dari Los Angeles.
Pegawai penguat kuasa undang-undang berkata, Allen yang berusia 31 tahun adalah penduduk Torrance, California.
Ketua Jabatan Polis Daerah Columbia berkata, penyiasat percaya suspek adalah tetamu di Hotel Washington Hilton, tempat majlis itu berlangsung.
“Bagaimanapun, motif kejadian masih belum dikenal pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) berkata, suspek bersenjatakan senapang patah dan ditahan selepas melepaskan tembakan ke arah seorang ejen di hotel berkenaan.
Insiden berlaku di luar dewan ketika acara itu yang dihadiri Presiden AS Donald Trump, isterinya, Melania Trump, dan Naib Presiden, JD Vance serta beberapa setiausaha kabinet.
Maklumat media sosial menunjukkan, suspek adalah graduan Institut Teknologi California (Caltech) dan bekerja sebagai guru separuh masa dan pembangun permainan.
Profil LinkedIn atas namanya pula menyatakan, dia mempunyai latar belakang dalam kejuruteraan mekanikal dan sains komputer.
Menurut profil itu, dia memperoleh ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal dari Caltech pada 2017.
Suspek juga memiliki ijazah sarjana sains komputer dari California State University, pada 2025.
Sementara itu, Caltech dalam satu kenyataan mengesahkan, individu dengan nama itu menamatkan pengajian di universiti itu pada 2017.
Hantaran Facebook menunjukkan dia pernah dinamakan ‘Teacher of the Month’ pada Disember 2024 oleh pejabat Torrance bagi C2 Education, iaitu perkhidmatan persediaan ujian dan tuisyen swasta seluruh negara untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke kolej.
© New Straits Times Press (M) Bhd



