am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan membuka siasatan berhubung video yang tular berkait penganjuran konvoi motosikal petang semalam yang memperlekeh polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Hari ini pada jam 10 pagi kita menerima laporan polis berkait rakaman video yang tular di media sosial.
“Ia memaparkan seorang individu lelaki yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.
“Siasatan awal mendapati, individu berkenaan turut mendakwa bahawa dia berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan memperdayakan anggota bertugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, polis Kelantan menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa toleransi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.
Terdahulu seorang lelaki mendakwa sekatan jalan raya itu menyebabkan Program Konvoi Motosikal dan Lepak Anak Muda Bersama YB YB semalam terganggu sehingga terpaksa menukar laluan.
Dia mendakwa pihaknya menggunakan laluan tikus dan program itu berjaya dengan memendekkan perjalanan sertai dihadiri kira-kira 3,000 motosikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




