saifulaffendy@hmetro.com.my
Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup kempen Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional dengan menghadiahkan pingat gangsa dalam acara pecut, hari ini.
Kejayaan itu diraihnya selepas menewaskan pelumba neutral, Nikita Kiriltsev 2-0 dalam penentuan tempat ketiga.
Terdahulu, Azizulhasni terlepas peluang beraksi di pentas final apabila tewas tipis 1-2 kepada pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul pada aksi separuh akhir.
Pingat emas acara itu menjadi milik juara dunia dan Olimpik dari Belanda, Harrie Lavreysen yang menewaskan Paul 2-0 dalam aksi final.
Walaupun tidak berjaya menambah koleksi emas, pencapaian gangsa tetap melengkapkan kempen cemerlang Azizulhasni di laman sendiri.
Semalam, pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu mencipta sensasi apabila meraih pingat emas dalam acara keirin menerusi henjutan luar biasa di pusingan terakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




