Kenyataan awal Leavitt ‘tembakan akan dilepaskan’ cetus perhatian

Kenyataan awal Leavitt ‘tembakan akan dilepaskan’ cetus perhatian
Kenyataan awal Leavitt ‘tembakan akan dilepaskan’ cetus perhatian

Kenyataan dibuat Leavitt sebelum insiden tembakan berlaku. – Foto Agensi

WASHINGTON – Kenyataan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, kembali menjadi perhatian selepas insiden tembakan di Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada malam Sabtu.

Dalam temu bual bersama Fox News sebelum acara tersebut, Leavitt berkata ucapan Trump pada malam itu akan “lucu”, “menghiburkan” dan menambah bahawa “akan ada beberapa tembakan akan dilepaskan malam ini”.

Istilah “tembakan akan dilepaskan” itu pada asalnya merujuk kepada ucapan atau sindiran politik Trump yang dijangka panas dan tidak berselindung.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas kenyataan itu, insiden tembakan sebenar berlaku di lokasi majlis gala berkenaan, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan tetamu serta mengganggu keseluruhan acara.

Menurut laporan pihak berkuasa, Trump ketika itu sedang berada di pentas utama sebelum bunyi letupan kuat kedengaran, menyebabkan pasukan keselamatan bertindak pantas membawa beliau, isteri dan beberapa pegawai kanan keluar dari dewan.

Ratusan tetamu yang hadir turut diarahkan berlindung di bawah meja sebelum acara dibatalkan serta-merta atas faktor keselamatan.

Pihak berkuasa mengesahkan seorang suspek telah ditahan di lokasi kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif serta bagaimana insiden itu boleh berlaku di acara berprofil tinggi tersebut.

Trump menyifatkan suspek sebagai “bakal pembunuh” dan mendakwa dia bertindak sendirian, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan sepenuhnya motif kejadian.

Kenyataan Leavitt itu kini kembali tular di media sosial kerana penggunaan istilah “tembakan akan dilepaskan” yang sebelum ini hanya merujuk kepada ucapan politik, tetapi berlaku secara literal dalam insiden sebenar beberapa jam kemudian.

Insiden tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di acara rasmi yang melibatkan Presiden Amerika Syarikat serta tetamu kenamaan lain.-Agensi

Scroll to Top