zahratulhayat@nst.com.my
Kampar: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang hilang kawalan dan melanggar dua kereta di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Jayden Leong Zhi Yung dari Taman Perpaduan Koperasi, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di laluan berkenaan pada jam 10.35 malam.
“Siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang datang dari arah Ipoh menuju ke Kampar dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi, sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Bezza serta Perodua Myvi,” katanya.
Katanya, impak pelanggaran menyebabkan kerosakan teruk pada ketiga-tiga kenderaan itu.
Mohamad Nazri berkata, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga penumpang hadapan Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada kepala dan kaki.
“Seorang penumpang belakang berusia 13 tahun dalam kenderaan sama serta pemandu berusia 46 tahun juga mengalami kecederaan pada kepala dan kaki. Kedua-duanya sudah dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan.
“Pemandu Myvi berusia 23 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, pemandu Hilux juga tidak mengalami kecederaan fizikal.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nazri berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu Hilux berusia 44 tahun itu didapati dia positif ganja.
“Kami menahan lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




