Polis buka siasatan dalaman, kesan anggota didakwa ambil wang

Polis buka siasatan dalaman, kesan anggota didakwa ambil wang

IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti anggota yang didakwa mengambil wang daripada seorang lelaki, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan video tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kenderaan peronda polis yang digunakan dalam video berkenaan mempunyai tanda panggilan ‘PK 56’ yang merupakan milik kontinjen Perak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Bagaimanapun, lokasi kejadian dan identiti anggota yang terlibat masih dalam proses pengesahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Najib, satu siasatan dalaman telah dibuka bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian dan anggota yang terlibat.

Beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, rapi dan adil.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau anggota,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top