am@hmetro.com.my
Batu Kawan: Penyampaian bersahaja dan penuh keyakinan membawa kejayaan kepada Haziq Safwan Hafidzee, 11, apabila dinobat sebagai juara Pencarian Wartawan Cilik anjuran reruai NSTP sempena Karnival Jom Heboh (KJH) X Mega Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) MADANI 2026, di sini hari ini.
Ibunya, Nurul Syazani Mohamed Zahari 39, berkata anak kedua daripada empat beradik yang juga pengawas Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ara, Bayan Lepas itu mengulangi kejayaan sama buat kali kedua selepas menyertai pertandingan itu buat pertama kali pada 2024.
“Tahun ini saya juga daftarkan adiknya, Hariz Safiy Hafidzee, 7, kerana kedua-dua anak saya ini memang suka bercakap dan bertanya soalan sampaikan Hariz pernah diminta gurunya menjadi pengacara di kelas semasa orientasi Tahun Satu awal tahun ini.
“Saya sebagai ibu menyokong minat anak-anak dan tidak banyak karnival menyediakan platform pertandingan yang begitu dekat dengan industri media sebegini untuk pendedahan awal kanak-kanak,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Nurul Syazani yang bekerja sebagai juruanalisis kilang, Bayan Lepas, berkata dia merakam sendiri video anaknya melaporkan berita ala ‘stand upper’ secara spontan tanpa skrip mengenai program di sekitar KJH berdurasi dua minit sebelum menyerahkan kepada penganjur petang ini.
Sementara itu, Nur Adilah Mohd Helmy, 37, tidak menyangka menerima panggilan telefon dari penganjur memaklumkan anaknya Ahmad Arfan Ahmad Hamdi, 11, yang menyertai pertandingan mewarna semalam diumumkan sebagai pemenang pertama kira-kira sejam sebelum acara penyampaian hadiah.
“Saya tak sangka sebab berpuluh-puluh kanak-kanak menyertai pertandingan itu. Saya juga daftarkan kakaknya yang berusia 12 tahun dan gembira seorang daripada mereka menang sangat berbaloi walaupun kena datang dua kali,” katanya yang tinggal di Permatang Tok Gelam, Penaga.
Pemenang membawa pulang hamper, piala, baucar sumbangan Econsave dan produk tajaan Yaya Empire yang disampaikan Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP, Tengku Kaifimirza Tuan Cherit.
Tengku Kaifimirza berkata, terdapat empat program utama dijalankan sepanjang tiga hari program berlangsung termasuk Zon Origami, Cabaran Kecerdasan Buatan (AI), selain bertujuan mendekatkan masyarakat kepada rangkaian akhbar berpengaruh itu, sekali gus memupuk budaya kreativiti dalam kalangan generasi muda.
NSTP turut mengedarkan ribuan akhbar NST, Berita Harian dan Harian Metro secara percuma, sekali gus mengukuhkan komitmen untuk terus menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan pada masa sama kekal relevan dalam landskap digital yang semakin berkembang.
“Reruai NSTP juga menampilkan tarikan interaktif seperti pengalaman fotografi yang disokong platform e-sukan, Dengku Gaming Zone, selain kios foto muka hadapan NSTP dan menerima sambutan menggalakkan sepanjang tiga hari program berlangsung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




