Alex Marquez juara GP Sepanyol

Alex Marquez juara GP Sepanyol

Jerez de la Frontera: Alex Marquez meraih kemenangan selesa dalam aksi Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini sekali gus menamatkan rentetan lima kemenangan berturut-turut pendahulu keseluruhan Marco Bezzecchi.

Juara musim lalu Marc Marquez terbabas keluar perlumbaan, membolehkan adiknya Alex mengulangi kejayaan sulung yang diraih di Jerez de la Frontera pada 2025.

Alex menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 1.903 saat di hadapan Bezzecchi yang menduduki tempat kedua.

Pelumba Aprilia, Bezzecchi, berjaya melebarkan kedudukan keseluruhan kejuaraan kepada 11 mata mengatasi Jorge Martin yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Fabio Di Giannantonio pula menamatkan saingan di tempat ketiga untuk melengkapkan podium dalam perlumbaan yang agak tenang di bawah cuaca cerah, selepas aksi pecut penuh drama dan huru-hara akibat hujan, semalam.

Marc Marquez memenangi perlumbaan pecut itu selepas membuat keputusan pantas menukar motosikal, dan beliau bermula dari petak utama hari ini.

Namun, beliau mengalami kemalangan di selekoh ke-11 pada pusingan kedua, tidak lama selepas dipintas adiknya Alex.

Pedro Acosta yang memulakan hari di kedudukan ketiga keseluruhan turut mengalami kerosakan selepas berlaku sentuhan dengan Raul Fernandez.

Bezzecchi pada mulanya mengekori rapat Alex Marquez yang menunggang jentera Ducati-Gresini, namun pelumba Sepanyol itu terlalu pantas.

Akhirnya, pelumba Itali itu terpaksa berpuas hati mempertahankan tempat kedua di hadapan rakan senegaranya, Di Giannantonio.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top