Istanbul: Gabungan yang diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman pada Khamis malam berkata ia telah memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik serta empat dron di ruang udara selatan Arab Saudi.
Anadolu Ajansi melaporkan kenyataan gabungan menyebut kedua-dua peluru berpandu balistik berkenaan dipintas dan dimusnahkan di ruang udara bandar Khamis Mushait dan Jazan.
Empat dron turut dipintas dan dimusnahkan di ruang udara Khamis Mushait, tambah kenyataan itu.
Gabungan berkenaan menyatakan pasukannya akan terus “mengambil dan melaksanakan langkah-langkah bagi mengekang militan Houthi.”
Tiada butiran lanjut mengenai kerugian atau kerosakan yang dialami.
Awal Khamis, gabungan yang diketuai Arab Saudi itu menyatakan serangan dron yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Houthi telah menyasarkan stesen pengagihan elektrik di Madinah.
Jurucakap gabungan, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, berkata serangan itu berlaku awal Selasa, 29 September, dan menyebabkan sebuah pencawang terputus bekalan tanpa menjejaskan rangkaian elektrik secara keseluruhan.
Pada 15 September, gabungan itu berkata pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi di selatan Makkah sebelum ia memasuki ruang udara larangan bandar berkenaan.
Arab Saudi telah mengetuai gabungan bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa menentang Houthi sejak Mac 2015. Kumpulan berkenaan telah menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah sejak September 2014.
© New Straits Times Press (M) Bhd




