Agensi: Lamine Yamal menjadi pemain pertama dalam sejarah La Liga yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan sebanyak tiga kali dalam satu musim, pencapaian yang tak mampu dilakukan oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Walaupun terpaksa menamatkan musim lebih awal akibat kecederaan, Yamal tetap memenangi anugerah bagi bulan April selepas sebelum ini menang pada November dan Disember 2025.
Aksi terakhir sensasi remaja itu musim ini menyaksikan dia menjaringkan gol ke-16 liga musim ini, jumlah terbanyak dalam kalangan rakan sepasukannya selain turut mencatat 11 bantuan gol, tertinggi dalam liga.
Dengan penguasaan anugerah bulanan itu serta Barcelona yang semakin hampir menjulang kejuaraan liga, ramai menjangkakan Yamal turut akan memenangi anugerah pemain terbaik musim ini pada Mei nanti.
Sejak La Liga mula memperkenalkan anugerah pemain bulanan kira-kira 15 tahun lalu, tiada pemain pernah mendominasi seperti Yamal.
Menariknya, anugerah ini tidak banyak memihak kepada Ronaldo. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Real Madrid itu hanya memenanginya tiga kali iaitu pada November 2013, Mei 2015 dan Mei 2017.
Namun perlu diingat, anugerah itu hanya diperkenalkan secara rasmi pada 2013, menyebabkan empat tahun awal kegemilangan Ronaldo di Sepanyol tidak diambil kira.
Dari segi jumlah kemenangan keseluruhan, Yamal kini sudah mengatasi Ronaldo dengan empat gelaran bulanan, bermula September 2024 dan tiga lagi musim ini.
Bagaimanapun, pemain muda itu masih perlu bekerja keras untuk menyamai rekod Lionel Messi dan Antoine Griezmann dalam senarai sepanjang zaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




