Gaduh kerana hutang, lelaki warga Bangladesh cedera

Gaduh kerana hutang, lelaki warga Bangladesh cedera

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berang hutang tidak dibayar disyaki punca pergaduhan bersenjatakan pisau membabitkan dua lelaki warga asing di sebuah kedai runcit di Taman Cheras, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, beberapa anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan MERS 999 pada 6.53 petang.

“Bertindak atas maklumat awam melalui MERS 999, anggota MPV dikejarkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun. Turut dirampas di lokasi kejadian adalah pisau berhulu kayu.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham berkaitan isu hutang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat serangan itu mangsa seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher, belakang badan, kaki dan tangan.

Katanya, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) dan berada di dalam keadaan stabil.

“Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 21 April hingga 4 Mei. Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top