am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, maut apabila motosikal yang ditunggang terbabas sebelum dirempuh sebuah motosikal lain dan kereta dalam kejadian di Kilometer (km) 426.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.25 malam semalam membabitkan kemalangan tiga kenderaan iaitu dua motosikal dan sebuah kereta.
Menurutnya, dua buah motosikal dipercayai dari Cameron Highlands menghala ke arah Kuala Terengganu, manakala kereta dari Genting Highlands pula menghala ke arah Besut.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal Honda EX5, Ahmad Adham Abdullah Mohd Yusri, 19, terbabas sebelum terjatuh ke atas jalan.
“Sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang pelajar berusia 19 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar mangsa.
“Kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Bezza, dari arah belakang mangsa sempat membrek namun tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa yang berada di atas jalan,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, penunggang motosikal yang terselamat mengalami kecederaan luka di tangan dan kaki kemudian menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan ekspres iaitu jalan lurus dua lorong sehala manakala kejadian berlaku pada malam dalam keadaan cuaca baik serta permukaan jalan rata berturap dan kering.
Menurut Azli, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




